
Dalam kenyataan ringkas, beliau berkata, akuan berkanun yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Parlimen yang diperlukan untuk pelantikan perdana menteri mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga berkata, gabungan itu mempunyai sokongan secukupnya bagi membentuk kerajaan.
“Kami dah cukup. Kami dah hantar (akuan berkanun). Tunggu untuk diundang (ke Istana Negara),” katanya dalam Facebook.
Pada pilihan raya umum, PN menang 73 kerusi, namun pada Sabtu, Muhyiddin berkata beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri, sambil memberi petunjuk beliau berjaya meraih sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Ketua parti politik dan gabungan politik perlu mengemukakan nama calon perdana menteri, pada 2 petang, esok, susulan permohonan BN meminta lanjutan.
Spekulasi bertiup kencang mendakwa BN dan Pakatan Harapan sedia bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan, selepas dua gabungan itu di Perak mencapai persetujuan membentuk kerajaan negeri di negeri itu.