Timbalan ketua Umno Kedah berundur

Timbalan ketua Umno Kedah berundur

Othman Aziz berkata, Umno perlu memberi ruang kepada kepimpinan baharu menerajui parti itu bagi mendapatkan sokongan rakyat semula.

Othman Aziz menggesa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Kedah, Jamil Khir Baharom mengikut jejaknya berundur.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Kedah, Othman Aziz menjadi pemimpin terbaharu yang berundur, selepas Barisan Nasional (BN) kalah di semua kerusi Parlimen di negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang kecundang di Parlimen Jerlun turut menggesa Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Umno Kedah, Jamil Khir Baharom mengikut jejaknya.

Bekas timbalan menteri kewangan itu berkata, kekalahan BN menunjukkan penolakan mutlak orang Melayu terhadap Umno yang perlu memberi ruang serta peluang kepada muka baharu.

“Kita perlu baik pulih dari segi kepimpinan Umno itu sendiri dan saya di sini juga menggesa Zahid selaku presiden berfikir secara terbuka dan berjiwa besar untuk melepaskan jawatan beliau.

“Kerana saya kira orang Melayu sendiri telah pun memberi satu petanda cukup jelas, mereka tidaklah benci Umno sangat, tapi kemungkinan mereka tidak suka gaya dan cara pemimpin Umno membawa dan mengemudi parti,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, Umno perlu mengorak langkah untuk memastikan parti itu terus relevan pada masa depan dan cuba mendapatkan kembali sokongan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“…saya rasakan lebih baiklah kita mengundurkan diri untuk memberi ruang kepada muka baharu dengan pemikiran baharu, sesuai dengan suasana dan cita rasa pengundi itu sendiri kerana di Kedah dan beberapa negeri lagi akan ada PRN selepas ini.

“Kelompongan jawatan yang ditinggalkan kepimpinan Umno selepas ini diisi dengan tokoh-tokoh lain yang mampu mengemudi parti di peringkat negeri dan pusat, dengan strategi lebih kemas.”

Perikatan Nasional menawan 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, manakala Pakatan Harapan menang satu kerusi.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Dis ini susulan kematian calon PH, M Karupaiya pada Rabu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.