Wanita hamil positif Covid-19 tetap keluar mengundi

Wanita hamil positif Covid-19 tetap keluar mengundi

Pengundi Parlimen Pandan yang dijangkiti Covid-19 sejak tiga hari lepas itu keluar seawal 6 pagi dari rumahnya di Sepang.

Pesakit Covid-19 diwajibkan memakai pelitup muka ketika mengundi, dan tidak dibenarkan membuat perjalanan menggunakan kenderaan awam.
PETALING JAYA:
Seorang wanita hamil yang positif Covid-19 sanggup memandu kira-kira sejam ke pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Taman Saga, Ampang untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi.

Pattern Lee, 38, keluar seawal 6 pagi dari rumahnya di Sepang untuk ke pusat mengundi kerana sebagai pesakit Covid-19, beliau tidak boleh berkongsi kenderaan, lapor Berita Harian

“Ini adalah kali pertama saya dijangkiti Covid-19 dan sedang mengalami demam agak tinggi. Namun selagi mampu bergerak dan menjaga diri, saya tetap akan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan kita semua,” katanya yang sedang hamil 18 minggu dengan anak pertama.

Lee yang mengundi untuk Parlimen Pandan berkata, sebagai pengundi positif Covid-19, beliau akan sentiasa memastikan dirinya mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Media sebelum ini melaporkan individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain sangat digalakkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, pengundi positif Covid-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, termasuk e-panggilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.