
Turut bersama Nur Shafika, 18, menaiki bot ialah neneknya berusia 70 tahun yang sakit tua, bapanya berusia 49 tahun yang mengalami strok, ibu serta abangnya.
Tiba di jalan utama, keluarga itu menaiki kereta mereka yang ditinggalkan di bahu jalan kerana tidak boleh memasuki kawasan rumah mereka di Kampung Tersang, Rantau Panjang akibat banjir termenung itu untuk ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok bagi Parlimen Rantau Panjang.
“Ini pilihan raya pertama saya. Walaupun berdepan banjir, saya tetap bersemangat untuk keluar mengundi,” kata Shafika ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang.
“Pastinya pengalaman ini tidak akan saya lupakan. Malah, mengundi dalam situasi banjir turut menjadi pengalaman pertama buat ahli keluarga yang lain,” katanya.
Pelajar Kolej Komuniti Jeli itu berkata, banjir bukan alasan untuk keluarganya dan penduduk kampungnya tidak keluar mengundi.
“Hari ini adalah peluang kami untuk buat pilihan wakil rakyat yang boleh membantu kami, terutamanya untuk menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, rata-rata penduduk Kampung Tersang sudah keluar mengundi pada sebelah pagi tadi menggunakan bot sendiri untuk meredah air separas dada orang dewasa.
Sementara itu, seorang mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Gual Tok Deh, Ibrahim Rahman, 72, berkata PRU15 merupakan pengalaman pertamanya mengundi dan menjadi mangsa banjir.
“Saya pindah ke PPS ini sejak seminggu lalu apabila rumah dinaiki air melepasi paras dada dan ketika ini air belum surut.
“Sudah tentu suasana berlainan kali ini. Pada pilihan raya sebelum ini saya terpaksa beratur panjang, namun hari ini saya boleh mengundi seawal 8 pagi kerana PPS ini turut dijadikan pusat mengundi,” katanya yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh.