KJ undi Tok Mat di Rembau

KJ undi Tok Mat di Rembau

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi dengan menyokong Mohamad Hasan.

Khairy Jamaluddin (kanan) pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal tetapi memberi laluan kepada Mohamad Hasan pada PRU kali ini.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin dari Umno mendedahkan beliau mengundi calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan di Rembau.

Dalam ciapan di Twitter, Khairy berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi dengan menyokong Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

“Terasa nostalgia kembali tetapi semoga ada permulaan baharu hari ini di Sungai Buloh,” kata menteri kesihatan itu yang bertanding di kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan Khairy menyusuli penafiannya beberapa hari lepas bahawa beliau telah mendesak seseorang untuk mensabotaj usaha timbalan presiden Umno itu untuk menjadi Ahli Parlimen Rembau.

Katanya, perbualan WhatsApp yang “dibocorkan” didakwa berhubung gesaan mensabotaj Mohamad itu adalah palsu.

Beliau juga berkata, laporan akan dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap akaun yang memuat naik perbualan palsu itu.

Khairy yang pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal memberi laluan kepada Mohamad, yang mahu memainkan peranan di peringkat pusat, pada PRU kali ini.

Mohamad berdepan pertembungan lima penjuru membabitkan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.