Fahmi Fadzil kecam SPR, ‘gagal’ urus pengundi di PPR Kerinchi

Fahmi Fadzil kecam SPR, ‘gagal’ urus pengundi di PPR Kerinchi

Calon PH Lembah Pantai itu berkata sekiranya ada yang pengsan ketika berbaris panjang untuk mengundi, SPR perlu dipersalahkan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil kecewa dan marah susulan ketiadaan kerusi disediakan, selain tiada lorong bagi memudahkan pengundi.
PETALING JAYA:
Calon Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung proses pengurusan pusat pengundian di flat PPR Kerinchi.

Beliau yang bertanding di Lembah Pantai kecewa dengan kurangnya koordinasi di pusat pengundian itu, di mana beliau merungut kerana tiada kerusi disediakan, selain tiada lorong bagi memudahkan pengundi memilih.

“Di mana SPR?” bidas Fahmi dengan nada amarah.

“Mereka sepatutnya menyediakan kerusi untuk pengundi duduk,” katanya dalam video.

Fahmi berkata, bagaimana sekiranya ada pengundi pengsan di pusat pengundian itu Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh perlu bertanggungjawab.

“Pengerusi SPR, ini semua atas tanggungjawab anda. Jika ada yang pengsan hari ini di pusat mengundi, anda yang tanggung dosa.”

Fahmi juga berkata, polis turut memohon kepadanya jika ada kerusi disediakan di pusat pengundian itu.

“Saya tak boleh selesaikan masalah ini. Ini (masalah) SPR,” katanya.

“Mengapa anda (SPR) layan pengundi seperti ini? Mana rasa tanggungjawab?”

Dalam pada itu, pengundi di PPR Kerinchi juga mengutarakan kekecewaan mereka mengenai situasi di pusat pengundian berkenaan.

Pengguna Twitter, @LynOshio berkata, dia berbaris dalam barisan panjang sepanjang koridor sekolah sejak 11.25 pagi dan masih tidak dapat masuk ke bilik darjah untuk mengundi, pada 1.06 tengah hari.

Pengguna lain, @Chibime961, berkata abangnya berada di pusat pengundian itu dan perlu menunggu hampir empat jam.

Pengguna Facebook, Chow Choi Chin, berkata barisan panjang disifatkan “mengarut” dengan “80% pengundi terpaksa berdiri”.

“Saya nampak YB (Fahmi) cuba menyelesaikan isu itu dan menenangkan para pengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.