Tuan Ibrahim fail saman terhadap Rafizi

Tuan Ibrahim fail saman terhadap Rafizi

Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi merupakan tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan bagi menghancurkan kredibilitinya menjelang hari pengundian esok.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saman itu bagi menyahut cabaran Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli berikutan tiada permohonan maaf yang dibuat berhubung dakwaan bahawa timbalan presiden PAS itu meluluskan projek bernilai RM2 bilion selepas Parlimen dibubarkan.

Menteri Alam Sekitar dan Air turut berkata tindakan itu dibuat bagi menyahut cabaran Timbalan Presiden PKR supaya saman tersebut diteruskan.

“Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan setebal 73 muka surat dan pihak Mahkamah telah menerima writ saman tersebut,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan.

Sebelum ini Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Beliau menegaskan, tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan dan tiada mana-mana pihak yang datang berjumpanya bagi meminta kelulusan RM2 bilion itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi merupakan tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibilitinya menjelang hari pengundian esok.

“Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya,” katanya.

Tuan Ibrahim berharap Rafizi berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas perundangan dan bukannya “hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.