
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri Zaidy Abdul Talib berkata pada masa ini rizab bekalan air dalam keadaan tipis dan dianggarkan berada pada kadar 3.4%.
“Keadaan rizab yang tipis ini secara tidak langsung hanya akan mengehadkan keupayaan kerajaan negeri untuk memberi bantuan segera jika berlaku kejadian di luar jangka seperti musim kering berpanjangan, kerosakan peralatan di loji rawatan air atau di sistem agihan dan pencemaran sumber air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mengenai kekangan yang dihadapi dalam proses mempercepatkan pembinaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2.
Zaidy yang juga Adun Taman Templer berkata perancangan awal pelaksanaan Projek Langat 2 yang dijangkakan siap pada suku 2017 kini berubah dan dijadualkan siap pada akhir 2019.
“Projek pembangunan yang masih ditangguhkan kelulusannya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menurut rekod sehingga 31 Disember 2016 memerlukan bekalan air yang dianggarkan sebanyak 964 juta liter sehari,” katanya.
Bagaimanapun, katanya dengan adanya Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2 yang sedang dilaksanakan, ia dapat meningkatkan kapasiti boleh agih sementara menunggu Projek Langat 2 siap.
Katanya, ini kerana Projek Loji Rawatan Air Semenyih yang dijangka siap pada Disember 2017 berkapasiti 100 juta liter sehari manakala Labohan Dagang dijadualkan siap pada Disember 2018 mampu membekalkan 200 juta liter air sehari.
Pada 19 Julai tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata Projek Langat 2 dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2017.
Beliau berkata projek di bawah kendalian PAAB itu kini sudah 50% siap dan fasa pemasangan paip sepanjang 42 kilometer dijangka dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan.