Terima keputusan PRU15, rai dengan matang, PM beritahu pengundi

Terima keputusan PRU15, rai dengan matang, PM beritahu pengundi

Ismail Sabri Yaakob berkata menang atau kalah adat pertandingan dan harus diraikan dengan matang serta berhemah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berharap insiden provokasi tidak berulang selepas PRU15.
PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob berharap semua pihak menerima pilihan rakyat menerusi keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok dengan hati terbuka tanpa mencetuskan sebarang provokasi dan kekecohan.

Beliau berkata, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan harus diraikan dengan matang serta berhemah.

“Saya harap esok pada hari mengundi dapat berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang provokasi di seluruh negara.

“Saya juga berharap malam esok apabila menerima keputusan, semua kita boleh menerima keputusan yang diumumkan dengan semangat yang tinggi tanpa menimbulkan kekecohan di mana-mana sekali pun.

“Kita terimalah pilihan rakyat dengan dengan hati terbuka, menang atau kalah adat pertandingan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada pilihan raya umum kali ini, lebih 21 juta pengundi termasuk pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas mengundi, esok.

Mengulas lanjut, perdana menteri berharap insiden provokasi tidak berulang selepas PRU15 sepertimana perarakan baju hitam dan tuduhan 30,000 pengundi warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

“Tuduhan itu sebenarnya tidak berlaku pun, jadi ia tidak baik untuk negara dan perlu dielakkan pada PRU15 ini,” katanya yang juga calon BN kerusi Parlimen Bera.

Dalam pada itu, Ismail yang juga naib presiden Umno bersyukur dua minggu kempen berjalan dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Katanyta, situasi itu membuktikan kematangan berpolitik rakyat negara ini.

“Alhamdulillah selepas dua minggu berkempen saya lihat kempen berjalan lancar di seluruh negara dan tidak ada kejadian tidak diingini sekali gus membuktikan kematangan rakyat Malaysia berpolitik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.