Semua agensi, jawatankuasa bencana diminta bersiap sedia, kata PM

Semua agensi, jawatankuasa bencana diminta bersiap sedia, kata PM

Ia susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang selepas hujan lebat sejak malam tadi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata semua jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah telah diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. (Gambar Bernama)
BERA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi berkaitan bencana dan keselamatan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri serta daerah bersiap sedia menghadapi banjir termasuk banjir kilat seperti yang dihadapi beberapa negeri malam tadi.

“Arahan telah dikeluarkan kepada agensi terlibat termasuk polis dan bomba, malah semua jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah telah diaktifkan.

“Misalnya yang berlaku di kawasan Shah Alam, Selangor… saya risau perkara sama berulang seperti di (Taman) Sri Muda (kejadian banjir sebelum ini).

“Saya berharap agensi dan jawatankuasa pengurusan bencana negeri serta daerah sudah bersedia,” kata beliau kepada pemberita pada program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Daratan Kerayong di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohammed Sadique.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kejadian banjir yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor, Melaka, Kelantan serta Johor, susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Terdahulu, 800 mangsa daripada 200 keluarga dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir melanda beberapa kawasan di Lembah Klang pagi ini.

Antara kawasan dilaporkan terjejas akibat banjir ialah Sepang, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.