
Azalina yang mengetuai pasukan petugas khas demokrasi dan undang-undang Barisan Nasional (BN) berkata, menurut Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, SPR boleh menetapkan tarikh baharu sebelum proses pengundian bermula, yang termasuk undian awal.
Saifuddin berkata, pandangan Azalina itu “tidak munasabah dan salah dari segi prinsip undang-undang”.
“Hujah bahawa pengundian awal sudah diadakan bukan alasan sah kerana kertas undi baharu boleh dikeluarkan dan pengundian baharu boleh dilaksanakan.
“Bagi memastikan keadilan dan kesamaan kepada semua calon dan parti politik, prinsip ini mesti diguna pakai untuk semua.”
Beliau menganggap kenyataan Azalina tidak wajar kerana menafikan hak pengundi Padang Serai untuk memilih calon pilihan mereka, serta pilihan PH untuk meletakkan calon.
Memandangkan calon PH meninggal dunia semalam, katanya, penggantian perlu dilakukan.
“Kita mesti terima bahawa kematian tidak dijangka calon PH, M Karupaiya adalah kebetulan (atau) seperti yang kita katakan dalam undang-undang, kuasa Tuhan. Ia bukan salah PH atau sesiapa, dalam apa cara sekalipun.”
Karupaiya, 69, ketua PKR Padang Serai, dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua. Beliau berdepan saingan enam penjuru menentang calon Barisan Nasional, C Sivarraajh, Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya dalam kenyataan semalam berkata, ia akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan tarikh penting bagi pilihan raya Padang Serai.