Mahkamah tolak permohonan NGO cabar pembangunan Bukit Cherakah

Mahkamah tolak permohonan NGO cabar pembangunan Bukit Cherakah

Kedua-dua NGO itu mencabar keputusan kerajaan negeri yang membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan dua NGO untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
SHAH ALAM:
Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) memberitahu Bernama bahawa Hakim Shahnaz Sulaiman menolak permohonan anak guamnya untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman tanpa perintah kos.

“Kami mendapat arahan daripada anak guam supaya merayu terhadap keputusan hari ini,” katanya.

Prosiding hari ini berlangsung secara dalam talian.

Pada 3 Ogos lepas, PEKA dan SACF memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.

Kedua-dua NGO itu mencabar keputusan empat responden yang membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar itu melalui pelaksanaan keputusan yang dibuat 22 tahun lepas.

Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 11 dan 12 Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.