Bimbang ‘blackout’, TNB nasihat jangan korek tanah pada hari undi

Bimbang ‘blackout’, TNB nasihat jangan korek tanah pada hari undi

TNB menangguhkan kerja pengorekan mulai semalam demi memastikan kestabilan bekalan elektrik, khususnya pada malam keputusan PRU15.

TNB meminta kerjasama semua pihak tidak menjalankan kerja pengorekan tanah kerana bimbang ia akan menjejaskan kabel elektrik pada Sabtu ini.
KUALA LUMPUR:
Tenaga Nasional Bhd (TNB) meminta kerjasama semua pihak berkaitan mengelakkan sebarang kerja pengorekan tanah pada hari pengundian Sabtu ini bagi menghindari kemungkinan gangguan elektrik akibat kerosakan kabel.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, ia juga menangguhkan kerja sedemikian mulai semalam, selain memfokuskan bagi memastikan kestabilan bekalan sepanjang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), khususnya pada malam keputusan pilihan raya.

“Nasihat kami agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dahulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, beliau berkata, pihaknya membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di semua 6,623 pusat mengundi dan 165 pusat penjumlahan undi di seluruh Semenanjung dalam keadaan baik pada Sabtu ini.

Beliau berkata, TNB turut melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi berkenaan sentiasa terjamin.

“Kami telah menempatkan pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi penting PRU15.”

Katanya, TNB juga mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di semua pusat mengundi dan penjumlahan undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.