Tiada laluan khas pesakit positif Covid-19 mengundi, kata KJ

Tiada laluan khas pesakit positif Covid-19 mengundi, kata KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang positif Covid-19 perlu memakai pelitup muka ketika hadir ke pusat pengundian untuk mengundi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, selepas membuat pertimbangan bersama SPR, pilihan terbaik adalah mengarahkan individu positif Covid-19 memakai pelitup muka ketika mengundi.
KUALA SELANGOR:
Tiada laluan khas disediakan untuk individu yang positif Covid-19 untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tetapi mereka perlu memakai pelitup muka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kementeriannya memutuskan itu adalah pilihan terbaik untuk pengundi selepas mempertimbangkan sumber yang ada serta kekangan lain.

“Tidak ada laluan khas, kami mencapai pilihan terbaik selepas membuat pertimbangan seperti sumber yang ada dan kekangan seperti ruang serta petugas.

“Jadi prosedur operasi standard (SOP) adalah apa yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya selepas menghadiri program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Noor Hisham berkata, pengundi yang positif Covid-19 perlu memakai pelitup muka ketika membuang undi manakala pengundi lain digalakkan memakai pelitup muka.

Mengulas mengenai satu rakaman video yang menunjukkan beliau dimarahi seorang pengundi wanita di Sungai Buloh, Khairy berkata, itu adalah hak wanita itu untuk berbuat demikian.

“Tiada masalah. Kami berurusan dengan pengundi dan saya memutuskan untuk membuat `walkabout’ tanpa tapisan. Kami bertemu setiap peringkat masyarakat dan bukan sahaja yang menyokong kita. Susah pasti ada yang kecewa dan mereka bebas untuk menyatakannya.

“Dalam kejadian semalam, wanita itu meminta bantuan yang mahu diberikan kepadanya segera. Saya kata itu mustahil. Itu satu kesalahan pilihan raya,” katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa perkara mengenai pemilih parti tidak dibincangkan semasa kempen PRU15, Khairy berkata, beliau bersetuju dengan naib presiden Umno itu kerana fokus ketika ini adalah pada pilihan raya.

Khairy berkata, beliau hanya menjawab soalan dalam satu temubual semalam tetapi menambah, jelas rakyat mahu melihat muka baharu dalam BN, menandakan peremajaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.