Projek tebatan banjir Shah Alam bermula bulan depan

Projek tebatan banjir Shah Alam bermula bulan depan

Exco Selangor, Izham Hashim berkata projek bernilai RM60 juta itu kini sedang dalam peringkat proses penganugerahan tender untuk melantik kontraktor yang layak.

Exco Selangor, Izham Hashim (dua dari kiri) meninjau kerja-kerja mendalamkan sungai Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam, hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Projek tebatan banjir bernilai RM60 juta melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan, membina tembok dan rumah pam di kawasan sekitar bandar raya ini akan bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Izham Hashim berkata projek itu ketika ini sedang dalam peringkat proses penganugerahan tender.

“Kita (Kerajaan Selangor) minta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) buat tender terhad dan dalam tempoh pendek sahaja. Kebiasaannya adalah 21 hari iklan tetapi kali ini kita bagi seminggu sahaja, lepas itu proses penilaian, bulan depan sudah boleh mula (kerja naik taraf),” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja pendalaman Sungai Klang di Kota Kemuning hari ini.

Sebelum ini, MBSA menyasarkan projek yang terbahagi kepada dua fasa dengan peruntukan RM60 juta itu bermula pada awal tahun hadapan.

Mengenai projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang sepanjang 56 kilometer tersebut, Izham berkata sampah besar antara faktor yang mengganggu projek berkenaan.

“Masalah besar kita adalah sampah dalam kuantiti banyak sebab 20 tahun tidak dikorek, lapisan demi lapisan (sampah), itu mengganggu sedikit kemajuan ataupun kelancaran projek pendalaman sungai ini.

“Semalam difahamkan tayar masuk terus dalam mesin pengorek apabila sangkut, kerja pengorekan terpaksa dihentikan dan proses pemulihan dijalankan bagi mengeluarkan sampah-sampah ini.

“Bagaimanapun, kita sasarkan dalam tempoh enam bulan ini, kawasan sensitif dan cetek ini dapat diselesaikan dari segi kedalaman sungai ini,” katanya.

Izham berkata pihaknya juga akan menambah sebuah lagi mesin pengorek jenis sama tetapi bersaiz lebih besar dalam usaha meningkat keupayaan projek pendalaman dan pelebaran sungai berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.