Pengundi Pandan gesa mahkamah tertinggi dengar rayuan segera

Pengundi Pandan gesa mahkamah tertinggi dengar rayuan segera

Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan dua persoalan undang-undang yang menurutnya, mempunyai merit untuk didengar mahkamah tertinggi.

Hakim Azizah Nawawi berkata perintah berbangkit untuk menghalang SPR daripada menjalankan pengundian dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan tidak boleh dipertahankan di sisi undang-undang.
PUTRAJAYA:
Seorang pengundi Parlimen Pandan merujuk kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan kebenaran yang dikemukakannya bagi mencabar nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat bulan lepas.

Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan dua persoalan undang-undang yang menurutnya, mempunyai merit untuk didengar mahkamah tertinggi.

Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas meritnya jika ia membangkitkan persoalan undang-undang yang tidak pernah diputuskan olehnya sebelum ini atau melibatkan persoalan penting yang keputusannya berkait kepentingan awam.

Syed Iskandar meminta mahkamah tertinggi untuk menentukan sama ada Perkara 40(2)(b) dan 55 Perlembagaan Persekutuan, apabila dibaca bersama, menjadikan permintaan untuk pembubaran Parlimen yang dibuat oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diadili.

Beliau berkata, dua kes penting patut dipertimbangkan, iaitu Teh Cheng Poh lwn Pendakwa Raya (1979), dan keputusan Mahkamah Agung UK, R (Miller) lwn Perdana Menteri (2019).

Persoalan kedua adalah sama ada peraturan mahkamah membenarkan peguam negara menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dengan membangkitkan bantahan tanpa menyatakan fakta kes dalam afidavit.

Mengenai perkara ini, Syed Iskandar menggesa Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam Teh Guat Hong lwn Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2017) dan Najib Razak lwn Peguam Negara (2020).

Usul itu difailkan semalam, sejurus panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Okt bahawa Agong mempunyai budi bicara mutlak sama ada untuk menerima nasihat perdana menteri dan membubarkan Dewan Rakyat atau tidak.

“Budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan permintaan perdana menteri membubarkan Parlimen tidak boleh dibawa ke mahkamah atas alasan ia tidak boleh diadili,” kata Hakim Azizah Nawawi, yang menyampaikan keputusan sebulat suara.

Azizah juga berkata, perintah berbangkit untuk menghalang atau melarang Suruhanjaya Pilihan Raya daripada menjalankan pengundian dalam tempoh 60 hari sebaik Dewan Rakyat dibubarkan juga tidak boleh dipertahankan di sisi undang-undang.

Peguam R Kengadharan, yang menganggotai pasukan guaman Syed Iskandar, berkata anak guamnya juga telah memfailkan sijil perakuan segera supaya rayuan itu tidak menjadi akademik.

“Kami sedang mengambil langkah untuk menggesa mahkamah tertinggi mendengar permohonan kebenaran selewat-lewatnya esok,” katanya kepada FMT.

Kertas kausa telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tambahnya.

Salah satu alasan Peguam Negara Idrus Harun membantah permohonan Syed Iskandar mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman adalah ia perkara yang tidak boleh diadili.

Peguam Gopal Sri Ram, yang mewakili Syed Iskandar, berkata gesaan perdana menteri untuk mengadakan pilihan raya ialah tindakan yang tidak munasabah dan tidak dilakukan dengan niat baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.