Mari bersama bangunkan Santubong, Nancy beritahu pengundi

Mari bersama bangunkan Santubong, Nancy beritahu pengundi

Calon GPS Santubong berkata ketika menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong beliau bekerjasama rapat dengan masyarakat tempatan membangunkan kawasan itu.

Nancy Shukri (tiga dari kiri) bersama pengundi di Tanjung Embang.
KUCHING:
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Santubong Nancy Shukri merayu kepada pengundi supaya menyokongnya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

“Kita perlu bekerjasama untuk memastikan pembangunan kawasan ini,” kata Nancy semasa berkempen di Tanjung Embang.

Menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata, beliau bekerjasama rapat dengan masyarakat tempatan di bekas kawasan pilihan rayanya di Batang Sadong untuk membangunkan kawasan itu sambil berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 15 tahun.

Ini termasuk pembinaan jambatan Batang Sadong, yang dikatakan Nancy sebagai “perubahan besar” untuk kawasan itu.

Jika dipilih di Santubong, Nancy berkata beliau akan meneruskan pendekatan inklusif itu.

“Kami akan melibatkan ADUN dalam perbincangan mengenai peruntukan persekutuan dan negeri untuk menggunakan sepenuhnya dana bagi kawasan kami,” katanya, sambil menambah beliau tidak mahu sebarang dana untuk rakyat menjadi sia-sia.

“Kerjasama antara pemimpin dan akar umbi juga penting supaya kita dapat melaksanakan pembangunan.”

Nancy, yang meluangkan masa bersama penduduk kampung di kawasan itu, mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka terhadap GPS.

“Ia mendorong kami untuk menggandakan usaha,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.