Komuniti Cina mahu dasar kerajaan adil, kata setiausaha agung MCA

Komuniti Cina mahu dasar kerajaan adil, kata setiausaha agung MCA

Chong Sin Woon berkata berlaku persepsi dalam kalangan komuniti Cina bahawa kerajaan tidak membantu mereka, sambil menyatakan perubahan perlu dilaksanakan untuk lima tahun akan datang.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon, mengambil bahagian dalam panel perbincangan dihoskan Khairy Jamaluddin.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata komuniti Cina mahu melihat dasar kerajaan yang “adil”.

“Mereka mahu melihat keadilan untuk semua. Jangan diskriminasi,” katanya dalam panel perbincangan di Facebook dihoskan Khairy Jamaluddin, hari ini.

Chong berkata, berlaku persepsi dalam kalangan komuniti Cina bahawa kerajaan tidak membantu mereka, sambil menyatakan perubahan perlu dilaksanakan untuk lima tahun akan datang.

“Saya rasa orang Cina (komuniti) tidak melihat kerajaan (untuk dibantu), namun tidak bermakna mereka tidak memerlukan kerajaan,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Raub.

Beliau berkata, orang Cina berkehendak dasar pro-perniagaan yang adil yang tidak mengenakan sekatan dan had yang dianggap menghalang pertumbuhan dan pengembangan ekonomi.

Dalam pada itu, calon BN bagi Parlimen Kuala Langat, Mohana Muniandy Raman, berkata sekiranya gabungan itu menang pada pilihan raya umum ini, BN akan menjuarai pemerkasaan wanita melangkaui 30% wakil golongan itu dalam politik dan kerajaan.

“Kita sentiasa bercakap soal 30% (wakil wanita), tetapi saya tidak fikir ia hanya 30%, namun berdasarkan kepada kemampuan dan keupayaan,” katanya.

Katanya, ahli politik wanita sepatutnya diberikan peranan lebih mencabar dalam peringkat membuat dasar dan tidak sekadar meletakkan mereka menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja, sambil memberi contoh Rafidah Aziz, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsan dan industri.

Panelis lain yang dijemput membabitkan calon BN, C Sivarraajh(Padang Serai), Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok), Rozabil Abd Rahman (Arau), Shahelmey Yahya (Putatan), Nicole Wong (Tebrau) dan Shahril Hamdan (Alor Gajah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.