Kaki digilis kereta, ketua wanita PH ‘gagahkan diri’ terus berkempen

Kaki digilis kereta, ketua wanita PH ‘gagahkan diri’ terus berkempen

Kejadian berlaku ketika calon Parlimen Sepang itu sedang mengadakan 'walkabout' di sebuah pasar pagi.

Dalam video yang dilampirkan bersama ciapannya, Ketua Wanita PH Aiman Athirah Sabu dilihat menggenggam kakinya yang sakit berikutan kejadian itu. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Sabu mengalami kecederaan ketika berkempen selepas kakinya secara tidak sengaja digilis sebuah kereta.

Calon PH bagi kerusi Parlimen Sepang itu berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang mengadakan “walkabout” di sebuah pasar pagi di kawasan itu.

“Saya dinasihatkan untuk berehat tapi saya masih mahu gagahkan diri dan bertemu rakyat Sepang. Doakan saya tetap terus kuat untuk kita!” katanya dalam ciapan di Twitter.

Dalam video yang dilampirkan bersama ciapannya, Aiman dilihat sedang duduk di atas kerusi dan menggenggam kakinya yang sakit berikutan kejadian itu.

Dengan hanya tinggal tiga hari lagi untuk berkempen, masa amat berharga bagi calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk memenangi hati pengundi.

Aiman bertanding lapan penjuru di salah satu kerusi paling hangat pada PRU15, dengan Ketua Wanita Bersatu Rina Harun menjadi pesaing tersengitnya.

Kerusi itu disandang Hanipa Maidin daripada Amanah selama dua penggal. Beliau pertama kali memenanginya pada 2013 ketika bersama PAS, yang ketika itu sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Turut bertanding ialah Anuar Basiran daripada Barisan Nasional (BN); Che Asmah Ibrahim (Pejuang); Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat); dan R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), serta dua calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.