
Dalam wawancara dengan BFM hari ini, menteri kesihatan itu berkata, beliau merasakan dirinya seorang calon yang berdaya maju untuk memimpin negara susulan peranannya semasa wabak Covid-19, apabila beliau mula ditugaskan untuk memperoleh vaksin sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi sebelum menguruskan peralihan negara ke fasa endemik sebagai menteri kesihatan.
“Saya telah melalui dua tahun yang sangat sukar menangani wabak dan saya tidak mahu mengisytiharkan aspirasi saya sebelum (ini),” katanya.
“Saya rasa prestasi kita bagus sebagai sebuah negara dan saya telah memainkan peranan dalam mengemudi (negara) mengatasi wabak.
“Pengalaman itu telah mendorong saya menawarkan diri (sebagai perdana menteri), sekurang-kurangnya memasukkan nama saya dalam perbincangan … untuk memimpin negara mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.”
Khairy, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, kali pertama menyuarakan impiannya untuk menjadi perdana menteri pada ceramah Selasa lepas dengan berkata, beliau berharap untuk menjadi perdana menteri “suatu hari nanti”.
Ismail Sabri Yaakob adalah antara pemimpin yang menyokong bekas ketua Pemuda Umno itu untuk menyandang jawatan tertinggi berkenaan.
Ditanya apa yang dapat beliau tawarkan kepada negara, penyandang Ahli Parlimen Rembau tiga penggal itu berkata, beliau berharap dapat memperbaharui ekonomi, sistem pendidikan dan program kebajikan sosial.
“Kita perlu melihat struktur ekonomi negara dan jika ia boleh memacu negara ke hadapan dalam dekad akan datang. (Strukturnya), saya percaya, masih dalam keadaan sangat, sangat … tidak optimum.
“Kita perlu melihat semula hasil dan perbelanjaan kerajaan, dan betapa progresifnya subsidi dan sistem percukaian kita.
“Bagi perlindungan sosial, kita perlu memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya sambil menambah, simpanan persaraan menjadi “isu besar” bagi rakyat Malaysia.
Ditanya sama ada beliau mempunyai keinginan untuk meneruskan dasar yang tidak popular, jika perlu, Khairy berkata, rakyat hanya perlu melihat kepada rang undang-undang Generasi Penamat (GEG) sebagai contoh.
Rang undang-undang GEG bertujuan untuk mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada golongan yang lahir selepas 2007. Ia dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bulan lepas, tetapi Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.
“Saya (banyak) membuat keputusan yang sukar semasa wabak,” katanya.
“Saya bukan (jenis) orang yang akan mengelak (daripada membuat keputusan sukar).”