Masa depan kita perlu kestabilan, dan pasukan pemimpin cekap, tegas Johari

Masa depan kita perlu kestabilan, dan pasukan pemimpin cekap, tegas Johari

Johari Ghani berkata Malaysia mesti elak dasar populis yang sekadar beri kelegaan segera tetapi mengundang penderitaan jangka masa panjang.

Johari Ghani berkata Malaysia perlukan sepasukan pemimpin yang boleh dipercayai dan cekap.
KUALA LUMPUR:
Johari Ghani percaya kestabilan dan kecekapan wajib untuk memacu Malaysia kembali, dan bukannya dasar-dasar bersifat populis.

Bekas menteri kewangan II itu berkata Malaysia perlukan dasar pembangunan yang membawa pulangan berterusan berbanding rumusan populis yang hanya memberi kelegaan segera tapi sementara.

Katanya, rakyat mesti bersedia hadapi kesukaran jangka masa pendek demi meraih manfaat jangka masa panjang.

Katanya lagi, pertumbuhan ekonomi bergantung kepada pelaburan asing, dan Malaysia mesti menampikan pasukan pemimpin yang boleh dipercayai dan cekap untuk menerapkan kestabilan – unsur penting bagi pelabur.

“Dalam masa empat tahun, kita tukar tiga perdana menteri. Itu bukan isyarat yang baik kepada pelabur,” katanya dalam temubual FMT.

“Kita mesti kepimpinan yang boleh dipercayai dan cekap. Kepimpinan ini tidak boleh seorang, tapi mesti berpasukan. Kita mesti ada pasukan yang bagus,” katanya, mengambil contoh pasukan bola sepak terbaik dunia bekerja sebagai satu pasukan.

Katanya, hanya pasukan pemimpin yang mantap boleh memulihkan keyakinan dalam negara dan memastikan dasar yang dirumus memberi manfaat jangka masa panjang.

Johari berkata Malaysia tidak lagi boleh elak daripada memperkenalkan dasar-dasar yang harus dan perlu, tapi mungkin tidak popular.

Elak nasib Sri Lanka

“Kalau kita cuma nak jadi popular sahaja, ia akan jadi masalah. Saya dah tengok keadaan di Sri Lanka 10 tahun sebelum ekonominya runtuh. Itu semua akibat dasar-dasar popular sahaja dan hutang negara meningkat,” katanya.

Wabak Covid-19 menyebabkan ekonomi Sri Lanka runtuh kerana kerajaannya tidak pelbagaikan ekonomi.

“Tengok Malaysia sekarang…dulu selama 61 tahun hutang kita cuma RM686 bilion. Dalam masa empat tahun, kita tambah hampir RM350 bilion.”

Malaysia kini tanggung akibat ketidakstabilan politik dan pembikinan dasar, katanya.

Tambahnya, membina semula ekonomi harus lah menerusi pertumbuhan dengan pelaburan asing, dan bukan menerusi pemberian wang tunai kerana cara itu tidak mampan.

Kaji semula dasar pendidikan

Dasar pendidikan yang bagus satu lagi faktor penarik pelabur, kata Johari, yang mempunyai 25 tahun pengalaman dalam dunia korporat dan pernah menganggotai pengurusan tertinggi syarikat-syarikat kerajaan.

Dasar pendidikan mesti dikaji semula setiap lima tahun agar negara boleh menghasilkan siswazah yang dikehendaki pasaran. Kerajaan juga mesti memahami keperluan sumber manusia syarikat-syarikat besar, katanya.

“Kita asyik lahirkan graduan yang ‘sama’. Misalnya, semua orang kejar ‘A’ tetapi ‘A’ itu tidak relevan dengan keperluan dan kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata Malaysia masih mendahului Indonesia, Vietnam, dan Filipina dalam senarai indeks daya saing sejagat dan destinasi pilihan pelabur.

“Tetapi dari segi pelaburan langsung asing, tiga negara ini raih lebih banyak berbanding kita. Jadi mesti ada sesuatu yang tak kena,” katanya.

Malaysia nampaknya tidak menarik jenis pelaburan yang bersesuaian dengan kumpulan bakat dalam negara, kata Johari.

“Bukan kita nak duit pelabur sahaja. Kalau kita nak duit dia sahaja pun, ia tidak mampan kerana ia tak beri manfaat kepada rakyat,” katanya.

Anak jati kembali

Johari, 58, yang juga ketua Umno Wilayah Persekutuan, berharap diberi mandat untuk mewakili rakyat Titiwangsa sekali lagi. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen di situ dari 2013 hingga 2018.

Pencabar utama beliau bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, yang bertukar kawasan dari Shah Alam. Beliau mewakili Pakatan Harapan.

Pesaing lain Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional dan Khairuddin Abu Hassan mewakili Pejuang.

Johari percaya beliau benar-benar faham keperluan warga Titiwangsa, memandangkan dia anak jati Kuala Lumpur yang lahir dalam keluarga miskin di Kampung Pandan dan mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan.

Kawasan Titiwangsa meliputi Setapak, Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Taman Maluri, dan Kampung Pandan, dengan seramai 80,747 pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.