
Lee, yang merupakan bendahari DAP Perak, dipilih sebagai ADUN Pasir Pinji pada 2018. Beliau kini bertanding di Parlimen Ipoh Timur, kerusi disandang DAP sejak 2004.
Walaupun menjadi pembangkang, “kami memanfaatkan kekuatan dan kerjasama kumpulan kebajikan dan masyarakat” untuk membantu mereka yang memerlukan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
“Sepanjang tempoh PKP, kami menghantar paket makanan ke rumah orang memerlukan, bukannya meletakkannya di lokasi tertentu untuk mereka ambil kerana ini akan meningkatkan risiko jangkitan mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau juga berjaya menubuhkan pusat vaksinasi bergerak, menjadi satu-satunya pusat yang ada di dalam kawasannya.
“Sebagai pembangkang, kami berasa sangat sukar melakukannya, rasa seperti mustahil. Mengapakah kerajaan mahu memberi ruang kepada pembangkang ini untuk mengendalikan PPV?
“Tetapi entah bagaimana kami berjaya melakukannya kerana kami memanfaatkan hubungan dengan kakitangan awam. Mustahil tetapi kami masih melakukannya,” katanya.
Jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee bercadang untuk mengubah minda melalui “dasar berpaksikan manusia” bagi membantu golongan muda kekal di kawasan itu.
“Saya sering bergurau bahawa eksport terbesar dan paling berharga dari Perak adalah bakat dan belia. Anda boleh melihat rakyat Perak berada di Taiwan, Amerika Syarikat dan London melakukan tugas dengan sangat baik, tetapi mengapa kami tidak membawa mereka kembali ke sini?
“Ini kerana insentif tidak mencukupi dan ekosistem tidak kondusif untuk mereka membina kerjaya dan kehidupan di sini,” katanya.
Lee berkata, beliau komited untuk menjadikan Ipoh tempat terbaik untuk sesiapa sahaja, bukan sahaja golongan muda, tetapi sebagai tempat tinggal, bekerja dan bermain.
Katanya, Perak mempunyai golongan berusia paling ramai di Malaysia dan terdapat keperluan inisiatif seperti elaun penjagaan dan kemudahan penjagaan.
“Ini semua tentang pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan, melalui campur tangan dasar berpaksikan manusia yang perlu dilakukan sekarang,” kata Lee. “Apabila anda mempunyai pekerjaan, anda ada peluang ekonomi yang lebih besar dan luas, ia menjadi titik permulaan orang ramai untuk kembali.”
Pada 19 Nov, Lee akan berdepan Ng Kai Cheong daripada Barisan Nasional dan Nor Afzainizam Salleh (Perikatan Nasional) bagi kerusi Parlimen tersebut.