
Katanya, tindakannya ke pejabat KDM, baru-baru ini, juga adalah kerana permintaan parti itu yang hanya mahu bertanya sama ada beliau membantah keputusan anaknya atau tidak.
Beliau berkata, pada 11 Nov lalu, Presiden KDM Peter Anthony telah memanggil Riduan dan menawarkannya menjadi ahli parti itu, sebelum hari pembuangan undi bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut rang undang-undang anti-lompat parti.
“Saya difahamkan setelah Riduan dan penyokong-penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, Peter telah menghubungi saya dan meminta saya datang ke pejabat KDM.
“Mereka telah bertanya adakah saya membantah Riduan menyertai KDM, saya memaklumkan tidak mempunyai kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa, memandangkan Riduan bukan lagi ahli Bersatu kerana telah meletak jawatan daripada parti, sebelum hari penamaan calon lagi.
“Selepas pertemuan singkat itu saya kemudiannya terus keluar dan beredar dari pejabat KDM”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang beliau telah melanggar syarat perjanjian kerjasama Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN).
Rubin yang juga penyelaras GRS Tenom turut menyatakan kekesalannya terhadap Pengerusi BN, Bung Moktar Radin yang meminta Ketua Menteri Hajiji Noor mengambil tindakan terhadap dirinya, termasuk memecatnya daripada jawatan dalam GLC kerajaan.
Rubin berkata, harus diingat bahawa pada pilihan raya negeri (PRN) 2020 lalu, beliau bertanding atas tiket Bebas.
“Setelah menang sebagai ADUN bebas, saya dan rakan-rakan ADUN bebas lain iaitu Masiung Banah dan Rudi Awah telah dijemput untuk bersama-sama membantu menubuhkan kerajaan negeri iaitu antara GRS dan BN, hasil daripada permuafakatan itu maka terbentuklah kerajaan GRS-BN pada hari ini.
“Di bawah kabinet kerajaan GRS-BN yang terbentuk, mereka mendapat jawatan penting, termasuk Bung yang dilantik sebagai timbalan ketua menteri merangkap menteri kerja raya.
“Sekarang setelah kerajaan GRS-BN memerintah lebih dua tahun, saya pula hendak dihalau keluar oleh mereka hanya disebabkan perasaan marah oleh calon BN di Tenom, Jamawi Jaafar kerana keputusan anak saya, Riduan bertanding sebagai calon bebas,” katanya.