PH tak lagi berdepan risiko kalah besar di Johor, kata pemimpin PKR

PH tak lagi berdepan risiko kalah besar di Johor, kata pemimpin PKR

Calon PH bagi Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menjangkakan jumlah keluar mengundi lebih besar berbanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada Mac.

Akmal Nasir, berkata cabaran kali ini tertumpu kepada menaikkan semangat pengundi untuk turun memilih selepas penarikan semula larangan berkait Covid-19.
JOHOR BAHRU:
Cuti sebelum pilihan raya dan penarikan balik larangan berkait Covid-19 bermakna Pakatan Harapan (PH) tidak lagi berdepan risiko kekalahan besar di Johor seperti berlaku pada pilihan raya negeri pada Mac, kata calon gabungan itu.

Akmal Nasir yang mempertahankan kawasan Parlimen Johor Bahru, berkata jumlah keluar mengundi rendah pada Mac mengakibatkan PH tumpas.

Namun, larangan berhubung Covid-19 sudah ditarik balik, sempadan kembali dibuka dan tiga negeri sudah mengisytiharkan cuti sehari sebelum pengundian, justeru membolehkan lebih ramai pengundi pulang memilih, kata Akmal.

Pada Mac, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PH menang 12 kerusi, Perikatan Nasional (3) dan Muda (1).

Lebih 100,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan ramai lagi terkandas di republik itu sehingga sempadan kembali dibuka, bermula 1 Apr.

Akmal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, berkata sokongan kepada PH di ibu negeri Johor kekal tinggi, terutama dalam kalangan pengundi Cina. “Lebih 80% pengundi Cina menyokong PH, namun masalah berlaku pada pilihan raya negeri berpunca daripada jumlah keluar mengundi rendah.”

Katanya, cabaran kali ini dilihat lebih tertumpu kepada menaikkan semangat pengundi untuk turun memilih. Bagaimanapun, ‘mood’ di lapangan memberi petunjuk jumlah keluar mengundi akan lebih baik, berbanding pada Mac.

Akmal ketika mengulas mengenai undi Melayu yang dikatakan dikuasai BN dan PN, berkata tidak semua pengundi Melayu mendokong politik kaum.

“Jelas kepada semua pengundi di sini bahawa hanya ada satu sahaja parti berbilang kaum.”

Beliau berkata, ramai pengundi Melayu menekankan aspek ekonomi dan integriti pemimpin, sekali gus menjadikan PH “pilihan lebih baik”.

Parlimen Johor Bahru menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Akmal, Mohd Mohtah Yacob (PN), Johan Arifin Mohd Ropi (BN) dan Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.