
Setakat hari ini, tiga kampung di Changkat Jong dinaiki air yang menyebabkan lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Abdul Rahman Talib BT4.
Mangsa banjir yang tinggal bersendirian, Rohani Ahmad, 70, bersyukur dapat keluar dari rumahnya dengan selamat, selepas air mula naik 11 malam tadi.

Bagaimanapun, beliau mahu calon PRU15 melihat sendiri keadaan banjir di sana dan mencari penyelesaian terhadap masalah sama yang dihadapi mereka saban tahun.
“Belum lagi nampak calon turun, kami harap mereka tengoklah kami yang dilanda banjir ini, bantulah kami selesaikan masalah ini. Mereka kena ambil tahu semua ini, kami rasa macam terpinggir,” katanya ketika ditemui FMT di PPS.

Pekebun, Hussin Yahya, 64, berkata banjir bukan saja membahayakan nyawa, tetapi turut menjejaskan pendapatannya yang bergantung kepada hasil tani.
Justeru, beliau meminta calon Parlimen Teluk Intan yang menang pada 19 Nov ini menangani masalah banjir kilat yang melanda setiap kali hujan lebat.
“Kami sudah tak larat nak hadap banjir, rumah pakcik air naik cepat, inikan pula kebun memang dah tak boleh masuk lagi, pakcik berkebun ada kerja ada duit, tiada kerja tiada duit.

“Harap sangatlah bakal Ahli Parlimen dan ADUN buatlah kerja betul-betul, carilah jalan penyelesaian supaya masalah banjir ini boleh diatasi.”
Rashidah Darus, 35, berkata setiap tahun rumahnya akan dinaiki air lebih 3 meter, justeru beliau meminta pihak bertanggungjawab menambah baik dan mendalamkan sistem perparitan.
“Setahun dekat tiga kali banjir, barang rumah rosak, lepas itu dengan ancaman haiwan berbahaya lagi. Pihak berwajib tangguhlah dulu berkempen pilihan raya, datang sini tengok sendiri sistem perparitan dekat kampung ini, perkara macam ini patut dah lama buat.”
