Bukan ahli Pejuang, Lando tanding PRU15 untuk perbetul ‘sistem tepu’

Bukan ahli Pejuang, Lando tanding PRU15 untuk perbetul ‘sistem tepu’

Lando Zawawi bertanding tiket Pejuang kerana parti itu menerima tiga syarat diberikan antaranya tidak perlu menjadi ahli.

Lando Zawawi akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atas tiket Pejuang.
TANJONG KARANG:
Calon Pejuang kerusi Parlimen Tanjong Karang, Lando Zawawi, mendedahkan dia bukan ahli parti itu namun bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan matlamat mahu membetulkan “sistem yang sudah tepu”.

Pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood) berkata, dia bertanding atas tiket Pejuang kerana parti itu menerima tiga syarat diberikan antaranya tidak perlu menjadi ahli.

Manakala dua lagi syarat, parti itu perlu menerima idea – hukuman mati terhadap kesalahan rasuah melebihi RM100,000 dan jika menang, beliau mahu menubuhkan jawatankuasa bersama calon yang kalah bagi menangani isu di Tanjong Karang.

“Saya hanya berlawan dengan sistem. Saya bukan orang politik, fikiran saya bukan macam orang politik, tapi saya nak bela hasrat rakyat.

“Saya sebenarnya nak jadi pemecah tembok sistem di Tanjong Karang yang sudah tepu, sehingga sekarang tidak ada pembaharuan berlaku…lihatlah banyak bangunan ‘gajah putih’ di sini, yang menyakitkan mata,” kata Lando, 47, kepada FMT.

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, dia sudah berjuang “melawan sistem” selama 16 tahun dengan cara tersendiri iaitu turun ke kawasan-kawasan bagi membaiki jalan raya.

Bagaimanapun, jika diberi mandat kelak, usaha membetulkan sistem itu lebih mudah kerana boleh terlibat di Dewan Rakyat bagi membuat pindaan akta dan perubahan dasar.

“Kurangkan birokrasi hierarki, masalah dalam sistem itu yang kita nak lawan. Orang minta zakat susah, minta bantuan dengan kebajikan susah. Mesti ada sebab kenapa susah. Kena betulkan sistem, barulah rakyat akan merasa nikmat kemakmuran bersama,” katanya.

Lando Zawawi berkata dia sudah berjuang ‘melawan sistem’ selama 16 tahun dengan cara tersendiri iaitu turun ke kawasan-kawasan bagi membaiki jalan raya.

Bertindak sebelum PRU

Mengenai kaedah kempen, Lando berkata dia tidak mempunyai susunan jadual seperti calon lain yang kebiasaannya akan melakukan “walkabout” dan ceramah bagi meraih undi.

“Saya tak kempen macam orang lain tapi kami bertindak sebelum PRU lagi, kita dah selesai banyak masalah. Kita dalam proses mendengar suara wakil masjid, surau, gelanggang silat, usahawan, wanita, orang yang dah pencen untuk dengar inspirasi mereka dan jadikan manifesto,” katanya.

Lando berkata, antara aduan sedang ditangani adalah berkaitan aliran trafik yang tinggi dan masalah kadar voltan rendah di kampung-kampung.

“Minggu depan saya akan duduk bersama JKR (Jabatan Kerja Raya) berkaitan aliran trafik. Bagaimana nak kurangkan kesesakan lalu lintas, ada beberapa aduan kadar voltan rendah, kita dah bagitahu TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan isunya adalah kawasan kampung pesat, penggunaan kadar elektrik tinggi.

“Apa yang diperlukan adalah pencawang baharu dan mereka telah setuju. Semalam mereka dah dapat tanah untuk bina pencawang dan kos akan ditanggung TNB,” katanya.

Katanya, selain menyelesaikan masalah rakyat, beliau akan berusaha membawa pelabur ke Tanjong Karang bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan dan memajukan pelancongan di daerah itu.

Di Parlimen Tanjong Karang, Lando berdepan saingan lima penjuru membabitkan Habibah Mohd Yusof dari Barisan Nasional (BN), Zulkapferi Hanafi (Perikatan Nasional), Siti Rahayu Baharin (Pakatan Harapan) dan Mohd Rosni Mastol (bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Noh Omar dari BN dengan majoriti 1,970 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.