Angin perubahan sokong PN bertiup di Felda, kata calon PAS

Angin perubahan sokong PN bertiup di Felda, kata calon PAS

Nazari Mokhtar berkata, sokongan peneroka Felda kepada Umno semakin goyah dan parti itu bukan lagi pilihan mereka.

Nazari Mokhtar berkata, generasi muda Felda menghargai apa yang bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin lakukan untuk mereka ketika berkuasa.
TENGGARA:
Calon PAS di Parlimen Tenggara, Nazari Mokhtar percaya pengundi Felda mula menjauhi Barisan Nasional (BN) dan menerima Perikatan Nasional (PN) secara beransur-ansur menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, generasi muda Felda menghargai apa yang Pengerusi PN dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin untuk mereka ketika berkuasa.

Ketika pentadbirannya, Muhyiddin mengumumkan kerajaan akan melupuskan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion di bawah inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

Nazari berkata, tinjauan yang dijalankan parti itu selepas pembubaran Parlimen dan sambutan diterimanya di Felda menunjukkan angin perubahan bertiup di kawasan Felda.

“Kita lihat sokongan kepada Umno semakin goyah dalam kalangan peneroka Felda di sini. Umno bukan lagi parti pilihan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PN pada mulanya percaya ia mempunyai peluang 50-50 untuk menang di Tenggara, sekiranya bekas penyandang kerusi itu, Dr Adham Baba dikekalkan BN.

Bagaimanapun, peluang untuk menang meningkat selepas BN menggugurkan bekas menteri kesihatan itu dalam senarai calon PRU15.

Mengenai keputusan PAS kekal bersama PN, Nazari berkata, ia keputusan baik kerana akan membantu menyatukan orang Melayu dalam PAS dan Bersatu.

Namun, katanya, jika PN memenangi PRU15, ia mungkin mahu Umno menyertai gabungan itu.

“Walaupun pemimpin BN secara terbuka kata tidak mahu menyertai PN, ia hanyalah retorik politik.

“Kami yakin jika mereka tak menang (pilihan raya), mereka akan datang kepada kami seperti sebelum ini. Ketika BN tumbang (pada 2018), kepada siapa mereka pergi meminta bantuan?”

Kata Nazari, politik bersifat dinamik dan tiada yang mustahil.

“Hampir mustahil BN untuk mendapatkan majoriti 2/3. Saya hanya nampak mereka akan menang 50 ke 60 kerusi Parlimen saja.”

Jika senario itu berlaku, katanya, satu-satunya persoalan ialah sama ada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi akan datang kepada PN atau Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan campuran.

“Kami pastinya mahu beliau datang kepada kami kerana ia juga akan membantu menyatukan orang Melayu secara keseluruhan.”

Parlimen Tenggara menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nazari, Manndzri Nasib (BN), Zuraidah Zainab (PH) dan Azhar Palal (Pejuang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.