Zahid batal rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi

Zahid batal rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi

Pada 9 Mei lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi.

Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan sama. Notis pemberhentian rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan semalam.

Seorang peguam yang mewakili Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 Nov ini telah dilapangkan.

Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lepas.

Perbicaraan kes itu bersambung 16 Jan tahun depan.

Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.