Tawaran RM1,000 sekaki Khalid sembang ahli politik atau dilulus Jemaah Menteri, soal Johari

Tawaran RM1,000 sekaki Khalid sembang ahli politik atau dilulus Jemaah Menteri, soal Johari

Johari Ghani berkata, tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk membeli tanah Kampung Baru itu membabitkan dana lebih RM10 bilion.

Johari Ghani meragui kredibiliti tawaran itu dan berkata sehingga hari ini, Khalid Samad tidak mendedahkan pihak mana yang bersetuju untuk mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk memperoleh tanah itu.
PETALING JAYA:
Khalid Samad harus menjelaskan sama ada tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru mendapat kelulusan Jemaah Menteri, kata Johari Ghani.

Johari berkata, tawaran yang dibuat bekas menteri Wilayah Persekutuan itu membabitkan dana lebih RM10 bilion dan beliau mempersoalkan pihak mana yang akan memperuntukkan wang berkenaan.

“Jika tawaran dibuat oleh kerajaan, adakah perkara ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri? Jika dibuat oleh pihak swasta, maka apakah nama syarikat tersebut?” soal Johari, yang juga bekas menteri kewangan II.

“Jumlah wang yang diperlukan – jika benar kerajaan atau swasta menawarkan RM1,000 untuk membeli tanah Kampung Baru – melibatkan lebih RM10 bilion. Saya nak tahu pihak mana yang menjanjikan tawaran ini?”

Pada 2019, Khalid yang pada masa itu memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan telah menawarkan pembelian tanah Kampung Baru dengan nilai RM1,000 sekaki persegi, untuk dibangunkan semula.

Bagaimanapun Johari mempersoalkan kredibiliti tawaran ini. Beliau berkata, sehingga hari ini Khalid tidak pernah mendedahkan pihak manakah yang akan menyediakan dana sebesar itu untuk membeli tanah Kampung Baru.

“Pemimpin mestilah bercakap benar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Johari menyifatkan syarat “100% pemilik tanah harus bersetuju dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi” yang diberi Khalid ketika itu sebagai tidak munasabah.

“Mana mungkin syarat-syarat ini dipenuhi kerana setiap penduduk mempunyai nilai tanah mereka tersendiri bergantung kepada keunikan, saiz serta kedudukan tanah mereka di kawasan mana,” katanya.

Johari kemudian mengesyorkan model yang lebih munasabah dan terbukti berjaya, iaitu UDA Legasi.

UDA Legasi atau Legasi Kampung Baru adalah sebuah pangsapuri yang dibina oleh UDA Property di bawah kepimpinan Johari, siap pada 2020. Kini, unit-unit di pangsapuri itu dinilaikan antara RM700,000 hingga RM2.8 juta atau lebih RM1,000 sekaki persegi.

Katanya, kejayaan model UDA Legasi turut meningkatkan nilai tanah di kawasan sekeliling.

“Tanah Kampung Baru ini jika hendak dibangunkan mestilah dilakukan secara berperingkat-peringkat dan mungkin memakan masa lebih daripada 30 tahun kerana tanah ini mempunyai kawasan yang luas melebihi 230 ekar, di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan mempunyai pemilik dan pewaris yang ramai.

“Seperti mana pembangunan daerah menara berkembar KLCC yang dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengambil masa lebih 30 tahun,” ujar Johari.

Johari yang berharap sekali lagi diberi mandat untuk mewakili rakyat Titiwangsa pada PRU15, berdepan pertembungan empat penjuru untuk kerusi Titiwangsa. Pencabarnya, Khalid mewakili Pakatan Harapan (PH), Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Khairuddin Abu Hassan mewakili Pejuang.

Kawasan Titiwangsa meliputi Setapak, Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Taman Maluri, dan Kampung Pandan, dengan seramai 80,747 pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.