Lebih 100 bas perantara disedia selepas gangguan perkhidmatan LRT

Lebih 100 bas perantara disedia selepas gangguan perkhidmatan LRT

Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Seramai 80 kakitangan Prasarana akan ditempatkan di stesen LRT terbabit untuk membantu penumpang dari segi memberi panduan menaiki bas perantara percuma.
PETALING JAYA:
Lebih 100 bas perantara percuma disediakan di lima laluan untuk membawa penumpang terjejas, susulan penutupan 16 stesen LRT sepanjang Laluan Kelana Jaya selama seminggu.

Rapid Bus Sdn Bhd menambah 20 lagi bas perantara percuma, selepas ia mendapat kerjasama daripada Smart Selangor dan Mara Liner yang masing-masing menyediakan 20 bas di bawah kendalian mereka.

“(Setakat ini) jumlah bas perantara lebih 100 buah itu bagi menampung penumpang di lima laluan,” kata Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan.

Lima laluan terbabit ialah Ara Damansara ke Pasar Seni, Ara Damansara ke Kelana Jaya, Kelana Jaya ke Pasar Seni, Pasar Seni ke Masjid Jamek dan Masjid Jamek ke Dato Keramat.

Tambahan, katanya, 80 kakitangan Prasarana akan ditempatkan di stesen terbabit untuk memberi panduan kepada penumpang bagi menaiki bas perantara.

“Bagi penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan, Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

“Ini akan dilaksanakan selepas perkhidmatan laluan tersebut dipulihkan. Maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.”

Terdahulu, Rapid KL dilaporkan menutup 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai Rabu, selepas ia ditutup Selasa lalu akibat kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC).

Laluan LRT Kelana Jaya turut terjejas oleh masalah sama Isnin lalu sehingga mengganggu perkhidmatan harian.

Presiden Prasarana merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azharuddin Mat Sah dilaporkan berkata, syarikat itu sedang mengkaji cara memberi pampasan dan bayaran balik kepada penumpang terjejas.

Katanya, mereka belum menentukan punca kerosakan sistem ATC, oleh itu stesen terpaksa ditutup selama seminggu.

Rapid Rail ialah anak syarikat Prasarana yang mengurus dan mengendalikan rangkaian LRT serta KL Monorail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.