Isytihar aset: Kami tak ‘tiru’ orang lain, kata Azmin

Isytihar aset: Kami tak ‘tiru’ orang lain, kata Azmin

Pengarah pilihan raya PN itu berkata, calon mereka akan mengisytiharkan aset kepada SPRM, sekiranya gabungan itu berkuasa dan dilantik dalam Jemaah Menteri.

Azmin Ali berucap dalam ceramah di Ipoh.
IPOH:
Calon Perikatan Nasional (PN) akan mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya gabungan itu berkuasa dan dilantik dalam Jemaah Menteri, kata Azmin Ali.

Pengarah pilihan raya PN itu berkata, menteri selalunya perlu mengisytiharkan aset mereka kepada agensi anti-rasuah itu.

“Dan kami memang melakukannya. Kami tidak perlu meniru apa dibuat orang lain,” kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri sementara itu dalam sidang media.

Beberapa pemimpin PKR mengisytiharkan aset mereka sejak beberapa hari lalu, termasuk Presidennya, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli.

Azmin yang mempertahankan Parlimen Gombak dalam pilihan raya umum ke-15, menjawab sama ada beliau atau pemimpin PN lain akan mengisytiharkan aset menjelang 19 Nov ini.

Beliau turut menyindir calon lawan PN yang mengisytiharkan aset mereka, namun tetap bertanding dalam pilihan raya walaupun menghadapi tuduhan rasuah.

“Semuanya sandiwara,” katanya.

Azmin berkata, sekiranya parti terlibat benar-benar komited memerangi rasuah, mereka sepatutnya menunjukkan contoh baik dan tidak mencalonkan orang yang masih berdepan kes mahkamah untuk pilihan raya ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.