Gelombang Anwar beri kelebihan PH tawan Perak, kata Mujahid

Gelombang Anwar beri kelebihan PH tawan Perak, kata Mujahid

Pengerusi PH Perak itu berkata, tinjauan rambang di lapangan menunjukkan pengerusi gabungan itu membawa pengaruh besar yang baik di peringkat DUN mahupun Parlimen di negeri itu.

Mujahid Yusof Rawa (tengah) berkata, kehadiran Anwar Ibrahim di Perak membawa gelombang baik di peringkat Parlimen mahupun DUN.
PARIT BUNTAR:
Pakatan Harapan (PH) Perak yakin gelombang sokongan terhadap Anwar Ibrahim di negeri itu memberi kelebihan untuk gabungan berkenaan merampas kembali pentadbiran Perak, kata Mujahid Yusof Rawa.

Pengerusi PH Perak itu berkata, tinjauan rambang di lapangan menunjukkan Anwar membawa pengaruh besar, tidak kira di peringkat DUN mahupun Parlimen negeri itu, sekaligus mereka yakin dapat memenangi 40 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, PH menang 29 kerusi DUN di Perak dan membentuk kerajaan negeri. Namun, pentadbiran yang diketuai Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu itu tumbang selepas Bersatu meninggalkan PH susulan Langkah Sheraton.

“Saya yakin dengan kehadiran Anwar di Perak telah membawa satu gelombang baik di peringkat Parlimen mahupun DUN.

“Melihat kepada kebangkitan dan sokongan itu serta tinjauan rambang yang kita buat, kita yakin 40 kerusi kita boleh menang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PH di sini.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, sasaran parti itu memenangi 25 hingga 30 kerusi Parlimen di seluruh negara mampu dicapai berpandukan kebangkitan rakyat yang menolak Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Kita (Amanah) telah menang 11 kerusi (Parlimen pada PRU14), jadi kita akan pastikan ia kekal menang dan sasaran kita untuk menang 25 hingga 30 kerusi itu bukan perkara mustahil,” katanya.

Amanah mempertaruhkan calon untuk menawan 54 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU15 berbanding 27 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada PRU14.

Presidennya, Mohamad Sabu dan Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja dan Pulai.

Pada PRU15, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar tiga penggal akan berdepan pertandingan empat penjuru. Beliau ditentang calon BN, Imran Yusof; Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Pada PRU14 Mujahid menang 16,753 undi dengan majoriti 3,098 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.