
Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel, berkata pengisytiharan aset diperlukan bagi akauntabiliti awam, manakala bekas presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar, berkata ia dapat meningkatkan kredibiliti serta integriti calon.
Kebanyakan daripada 72 calon PKR bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov, sudah mengisytiharkan aset mereka, dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, menjadi yang pertama melakukannya.
Pada 2 Nov, Rafizi, yang bertanding di Parlimen Pandan, mengisytiharkan aset bersihnya bernilai RM18,851,350 sehingga 31 Okt tahun ini.
Cynthia memuji tindakan Rafizi itu dan calon PKR lain yang mengisytiharkan aset masing-masing, sambil menyatakan ketelusan ahli politik menjurus kepada urus tadbir baik.
“Setiap calon PRU15 digesa mengisytiharkan aset masing-masing dan mesti jujur melakukannya supaya dapat menawan kepercayaan orang awam.
“Sekiranya mereka tidak sanggup membuat pendedahan secara terbuka, ia memberi petanda jelas terhadap komitmen calon itu terhadap urus tadbir baik,” katanya kepada FMT.
Akhbar berkata, cukup penting bagi ahli politik Malaysia mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka memandangkan ia merupakan trend meluas di peringkat antarabangsa memerlukan Ahli Parlimen berbuat demikian bagi mengekang rasuah, termasuk memastikan urus tadbir bersih dan telus.
“Tujuan pengisytiharan aset bagi membanteras rasuah dan mengesan sebarang salah guna dana awam ketika berkuasa,” katanya.
“Mengisytiharkan aset merupakan langkah meningkatkan ketelusan dan kepercayaan dalam pentadbiran awam, mencegah konflik kepentingan, pengayaan haram dan percambahan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.”
Akhbar mendakwa, keengganan mengisytiharkan aset berkemungkinan calon itu memperoleh wang melalui rasuah dan salah guna kuasa, manakala Cynthia berkata, calon yang belum bertindak sedemikian mungkin takut berdepan persoalan awam dari mana sumber kekayaan mereka.