Mana Wee? tanya warganet, bekas Ahli Parlimen selepas gangguan khidmat LRT

Mana Wee? tanya warganet, bekas Ahli Parlimen selepas gangguan khidmat LRT

Warganet dan dua Ahli Parlimen kecewa selepas 16 stesen di laluan LRT Kelana Jaya ditutup selama seminggu, dengan menteri pengangkutan sementara itu belum mengulas.

Catatan Facebook terbaharu Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong pada 7.27 malam semalam menunjukkan presiden MCA itu berkempen menyokong calon BN di Raub, Pahang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong diselar warganet dan bekas Ahli Parlimen kerana berdiam diri dalam isu terbaharu membabitkan penutupan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini.

Stesen itu juga ditutup semalam, selepas kerosakan sistem kawalan tren automatik dikesan. Laluan LRT itu juga mengalami masalah sama Isnin lalu.

Ketika pengurusan tertinggi pengendali tren Prasarana itu mengadakan sidang akhbar hari ini menjelaskan penutupan selama seminggu itu dibuat demi keselamatan penumpang, ahli politik pembangkang segera mempersoalkan Wee yang belum mengulas berhubung isu itu.

“Di mana Wee?” tanya Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil di Twitter.

Calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Wee tidak mengulas secara terbuka mengenai masalah LRT setakat 11.17 pagi.

Catatan terbaharu Facebook Wee pada 7.27 malam semalam menunjukkan presiden MCA itu berkempen menyokong calon Barisan Nasional (BN) di Raub, Pahang.

Tindakan Wee berdiam diri turut dikritik warganet seperti @lady_bugg11, yang menyiarkan video berpuluh-puluh penumpang beratur untuk menaiki bas.

“Mana Wee? Kasihanilah orang ramai,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter @PointMHD menyifatkan Wee sebagai “menteri pengangkutan paling tidak berguna”.

Pengguna Twitter @fuadrodzi berharap dapat melihat peraturan dalaman dilaksanakan untuk menteri pengangkutan dan eksekutif tertinggi meletak jawatan secara sukarela, jika gangguan berlaku tiga hari berturut-turut kepada perkhidmatan LRT, MRT dan bas.

Pembantu Wee ketika dihubungi FMT berkata, menteri itu akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Dalam sidang media Prasarana hari ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azharuddin Mat Sah memohon maaf kepada semua penumpang terjejas atas gangguan perkhidmatan selama seminggu dan ia mungkin memberi pampasan kepada penumpang, khasnya pembeli pas bulanan My50.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.