
Pengerusi PN Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua calon itu mempunyai pengalaman luas dan pernah berkhidmat sebagai exco dalam kerajaan negeri terdahulu.
Faizal yang juga bekas menteri besar berkata, sekiranya PN menang pilihan raya negeri, senarai calon akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
“Ini adalah prerogatif tuanku untuk menentukan. Kita tak hendak terjadi penderhakaan kepada sultan dalam kita nak menunjukkan calon menteri besar kita,” katanya menurut Astro Awani.
Razman baru-baru ini dikecam pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas didakwa menuduh Presiden PKR, Anwar Ibrahim mempromosikan agenda pergerakan LGBT, komunis dan membenarkan perkahwinan sejenis sekiranya PH berkuasa.
Anwar kemudiannya menghantar surat tuntutan kepada Razman dengan menyifatkan kenyataan pemimpin PAS itu memfitnah serta menuntut ganti rugi RM5 juta dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
Minggu lepas, Anwar menghantar surat tuntutan sama kepada bekas ahli PKR, Faizal Effendi Hasim kerana didakwa memfitnahnya melalui akaun TikTok @mr_ari11.
Semalam, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengumumkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon menteri besar Pahang bagi gabungan itu.