Kenyataan Parlimen tergantung Rafizi demi dorong PH menang, kata Anwar

Kenyataan Parlimen tergantung Rafizi demi dorong PH menang, kata Anwar

Pengerusi PH itu berkata, kenyataan berkenaan sebagai dorongan buat gabungan itu memenangi 10 hingga 15 kerusi lagi, sekali gus mendapat majoriti mudah.

Rafizi Ramli yakin tiada sebuah gabungan atau parti yang boleh mencapai majoriti mudah selepas PRU15, sekali gus menjadikan Parlimen tergantung. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung Parlimen tergantung akan berlaku selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bertujuan memberi inspirasi kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi lebih banyak kerusi, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu berkata, beliau sudah membincangkan strategi itu dengan Rafizi.

“Kata Rafizi (ini perlu) untuk mendorong orang kita menambah 10 hingga 15 kerusi lagi supaya kita boleh dapat majoriti mudah,” katanya selepas menemui petani di Tambun.

Semalam, Rafizi dilaporkan yakin tiada sebuah pun gabungan atau parti yang boleh mencapai majoriti mudah selepas PRU15 yang akan menyebabkan Parlimen tergantung.

Bagaimanapun, Rafizi percaya PH mendahului dengan sekurang-kurangnya 80 kerusi yang mereka yakin boleh menang, manakala Barisan Nasional (BN) boleh memenangi 60 hingga 70 kerusi.

Anwar menolak kenyataan Menteri Pertahanan sementara, Hishammuddin Hussein yang mendakwa perbezaan pendapat dalam jumlah kerusi boleh dimenangi PH menunjukkan timbul konflik dalam kalangan pemimpin PH.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno sendiri yang sedang bergolak kerana ia kini mempunyai tiga calon perdana menteri berpotensi.

“Hishammuddin kata ada konflik antara saya dan Rafizi, beliau ingat ini adalah Umno. Umno belum memutuskan siapa calon perdana menterinya, kini ada tiga orang.”

Isnin lalu, Hishammuddin dilaporkan mendakwa kurang persefahaman antara Rafizi dan Anwar, merujuk perbezaan jumlah kerusi yang dirasakan boleh dimenangi PH pada PRU15 oleh dua pemimpin itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.