
Beliau berkata, fokus utama perlu dilihat oleh pengundi adalah kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang Ahli Parlimen, bukan bergantung kepada status anak tempatan atau tidak.
“Itu perkara dimainkan pihak lawan…saya tidak bimbang dengan permainan itu, tidak timbul soal saya orang luar dan sebagainya yang penting adalah khidmat kepada rakyat.
“Selama 23 tahun menjadi Ahli Parlimen takkanlah baru nak fikir pasal pembangunan,” katanya merujuk kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, calon BN yang akan mempertahankan kerusi itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran manifesto PH, di sini.
Shamsul berkata, Zahid perlu membuka ruang kepada golongan muda untuk menerajui kawasan itu dan beliau perlu fokus kepada kes mahkamah dihadapinya.
“Bagi peluang untuk beri tumpuan pada kes beliau, bagi peluang kepada kami yang muda-muda ini.”
Mengulas lanjut, beliau berkata, PH akan membawa kekuatan dan ketekunan dalam misi untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Bagan Datuk.
Untuk rekod, Shamsul sebelum ini digelar “giant killer” kerana menumpaskan Mohd Ali Rustam daripada BN yang kini menjadi Yang di-Pertua Melaka, di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14.