Tiada masalah Kiandee tanding pertahan Beluran, kata Muhyiddin

Tiada masalah Kiandee tanding pertahan Beluran, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu itu berkata, GRS tidak sepatutnya mengorbankan kerusi disandang partinya ketika berunding dengan BN.

Muhyiddin Yassin berkata, PN boleh meletakkan calon di lima ke enam kerusi lagi di Sabah memandangkan gabungan itu menang pada PRN sebelum ini, namun tidak berbuat demikian.
PENDANG:
Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakan Ronald Kiandee bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan Parlimen Beluran, memandangkan Kiandee ialah naib presiden Bersatu dan kerusi itu milik parti itu.

Dua hari lepas, FMT melaporkan bahawa pencalonan Kiandee atas tiket PN di Beluran menyulitkan perjanjian politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah, menurut sumber dipercayai.

Mengikut perjanjian itu, GRS bersetuju BN yang sepatutnya bertanding di Beluran memandangkan kerusi itu dimenangi gabungan itu pada 2018. Kerusi berkenaan bertukar tangan selepas Kiandee berpaling tadah dan menyertai Bersatu pada penghujung tahun sama.

Tindakan Kiandee bertanding turut menerima kecaman Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata PN cuba merosakkan perjanjian GRS-BN dengan membenarkan bekas Ahli Parlimen Beluran itu bertanding di kerusi itu.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, GRS tidak sepatutnya mengorbankan kerusi Bersatu ketika berunding dengan BN.

Sambil berkata beliau telah menyokong GRS apabila ia ditubuhkan, Muhyiddin bertanya: “Mengapa (GRS) tidak pertimbangkan Kiandee? Adakah saya tak adil? Itu jawapan saya.”

“Itu calon saya, dan beliau tidak dapat watikah calon GRS. Jika anda berada di posisi saya, apa yang anda akan lakukan?

“Kita (PN) putuskan (Kiandee) boleh bertanding (atas tiket PN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah anjuran PN Kedah malam tadi.

Muhyiddin berkata, PN boleh meletakkan calon di lima ke enam kerusi lagi memandangkan gabungan itu menang pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, namun tidak berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.