PRU15: Polis terima laporan fitnah, beli undi babit calon Parlimen Batu

PRU15: Polis terima laporan fitnah, beli undi babit calon Parlimen Batu

Pengerusi MIC Kuala Lumpur S Rajah membuat laporan polis bagi menegaskan bahawa tiada sesiapa pun daripada MIC pernah menawarkan RM10 juta kepada P Prabakaran seperti didakwa pada sesi ceramah baru-baru ini.

Pengerusi MIC Kuala Lumpur S Rajah (kiri) berkata ini menunjukkan P Prabakaran ‘sudah tidak mempunyai modal untuk berkempen’.
PETALING JAYA:
Pengerusi MIC Kuala Lumpur S Rajah hari ini membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu P Prabakaran berhubung dakwaan bahawa beliau (Prabakaran) ditawarkan RM10 juta untuk lompat parti dan menyertai MIC.

Rajah berkata laporan polis berkenaan dibuat bagi menegaskan bahawa tiada sesiapa pun daripada MIC pernah menawarkan RM10 juta kepada Prabakaran dan dakwaan yang dibuat calon PH itu pada sesi ceramah baru-baru ini berbaur fitnah terhadap MIC.

“Itu adalah satu fitnah, tohmahan yang sama sekali tidak masuk akal. Bagi saya ini menunjukkan dia (Prabakaran) sudah tidak mempunyai modal untuk berkempen,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, Rajah berkata beliau sedia membatalkan laporan berkenaan sekiranya Prabakaran membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tersebut.

Semalam, tular di media sosial sebuah video berdurasi 35 saat menunjukkan Prabakaran sedang berucap dan dalam ceramahnya itu beliau mendakwa ditawarkan sejumlah wang untuk lompat parti dan menyertai MIC.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Batu Lestari Yahya hari ini turut membuat laporan polis mendakwa terdapat calon daripada sebuah parti politik yang bertanding di Parlimen Batu cuba membeli undi dengan memberi bantuan beras.

Katanya laporan itu dibuat selepas melihat siaran langsung di media sosial tengah hari tadi mengenai program seorang calon mengagihkan beras dan mengesyaki perbuatan tersebut untuk membeli sokongan pengundi Parlimen Batu.

“Agihan tersebut dibuat tengah hari tadi di sekitar kawasan Bandar Baru Sentul. Calon itu mengagihkan beras kira-kira 50 kampit dan lain-lain bantuan. Bagaimanapun, saya tidak pasti sekiranya ada sumbangan wang yang turut diberikan,” katanya yang turut membuat laporan di IPD yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai ketika ditemui media, mengesahkan menerima kedua-dua laporan berkenaan dengan masing-masing akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memfitnah, dan Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.