Prabakaran jadi pilihan utama pengundi Batu kerana PKR

Prabakaran jadi pilihan utama pengundi Batu kerana PKR

Hakikat bahawa penyandang kerusi Parlimen Batu itu bersama PKR menjadi kelebihan buatnya.

Pada PRU15, P Prabakaran akan berdepan 9 calon lain bagi mempertahankan kerusi Parlimen Batu.
SENTUL:
P Prabakaran dilihat menjadi pilihan utama pengundi di Batu untuk penggal kedua sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana pengundi di kawasan tersebut mahu Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi itu, yang akan menyaksikan pertembungan 10 penjuru pada 19 Nov ini

Pengundi yang ditemui FMT mengakui Prabakaran seorang yang rajin dan mudah didekati, namun menegaskan bahawa kelebihannya adalah beliau bersama PKR.

Suri rumah Ramani Ramasamy, yang telah menetap di Sentul selama 17 tahun berkata, Prabakaran seorang Ahli Parlimen yang bagus, sentiasa berada di lapangan. Namun, katanya, kita perlu melihat gambaran lebih besar, iaitu menjadikan PH kerajaan.

Ramani Ramasamy.

“Jika beliau bukan (wakil rakyat) PKR, saya mungkin tidak akan undinya kerana saya fokus kepada matlamat untuk menjadikan PH kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Roger Suraj, 54, berkata parti didahulukan berbanding calon.

Roger Suraj.

Jika Prabakaran bertanding sebagai calon bebas, beliau mungkin tidak mengundi bekas Ahli Parlimennya itu buat penggal kedua, katanya.

Mengutamakan parti berbanding calon menjadi sebab mengapa Ramani dan Suraj menyokong PKR pada masa lalu tanpa mengira calon. Ini termasuk pendahulu Prabakaran, Tian Chua, yang pernah berkhidmat di kawasan itu selama dua penggal.

Shanti N, 55, seorang pemilik perniagaan yang menetap di Sentul berkata, parti itu membawa perubahan, jadi berada dalam parti yang betul menjadi kelebihan bagi Prabakaran.

“Parti penting kerana kita perlu memilih kerajaan yang betul,” katanya yang turut mengakui mengundi Tian Chua sebelum ini kerana PKR.

Malah penduduk yang tidak berpuas hati dengan Prabakaran sebagai Ahli Parlimen berkata mereka akan tetap mengundi parti itu.

“Saya tak nampak banyak kemajuan di kawasannya tetapi saya akan undinya untuk menyokong pasukannya,” kata Elaine Tan, yang memiliki perniagaan di Jalan Ipoh selama 30 tahun.

Kerusi Batu menyaksikan antara pertembungan paling banyak penjuru pada PRU15, dengan calon daripada semua parti utama serta empat calon bebas, termasuk Tian Chua, bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.