Lebih 200 bendera PH dicabut di Ayer Hitam, dibuang ke parit

Lebih 200 bendera PH dicabut di Ayer Hitam, dibuang ke parit

Calon PH Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan perbuatan itu sebagai 'sikap politik samseng' dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor dalam pilihan raya.

Calon PH Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, para petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam. (Gambar Facebook)
KLUANG:
Lebih 200 bendera Pakatan Harapan (PH) yang dipasang di sepanjang laluan Kampung Parit Kuari dekat Ayer Hitam di sini dicabut dan dibuang ke dalam parit, dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Calon PH bagi Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, para petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam selepas enam jam dipasang.

“Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.

“Sikap ini mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Sheikh Umar, yang juga naib pengerusi DAP Johor, mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak bertindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung insiden bendera parti politik dicabut atau dibuang.

Pada pilihan raya umum ke-15, Parlimen Ayer Hitam akan menyaksikan persaingan tiga penjuru, melibatkan penyandang Wee Ka Siong daripada Barisan Nasional (BN), Sheikh Umar dan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Syafiq A Aziz.

Pada PRU lepas, Wee menang kerusi tersebut dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.