
Katanya, buat masa ini proses pampasan tanah sedang berlangsung dan fasa satu pembinaan lapangan terbang itu dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya, bagi mempercepatkan proses pembinaan, kos pembinaan akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum bayaran balik dibuat oleh kerajaan persekutuan.
“Demi untuk kemudahan orang Lawas kita (kerajaan negeri) akan buat lapangan terbang sendiri. Kosnya juga bukan murah, kira-kira RM600 juta dan sekiranya kerajaan persekutuan tidak mahu beri biar kita yang buat.
“Orang di Lawas sudah tunggu begitu lama (untuk ada lapangan terbang baharu). Kita akan runding dengan kerajaan pusat nanti untuk mereka bayar balik kos RM600 juta itu,” katanya semasa berucap pada Program Sarawakku Sayang.
Lawas kini mempunyai lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL), yang telah beroperasi sejak 1961 dan, walaupun dinaik taraf pada 1996, ia terus mengalami isu banjir serta peningkatan penumpang dan kargo.
Pada 12 Ogos lepas, Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan dilaporkan berkata lapangan terbang yang dijangka siap menjelang akhir 2026 itu akan menjadi pencetus perubahan yang mampu merangsang aktiviti ekonomi daerah paling utara di Sarawak itu.
Sementara itu, Abang Johari berkata Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) juga akan meneruskan agenda pembangunan di kawasan Lawas termasuk pembinaan pelabuhan serta lebuh raya baharu.