
Pengerusi NFC, Salleh Ismail berkata, kerajaan berjanji menyediakan rumah sembelihan berkualiti eksport di Gemas, Negeri Sembilan supaya projek itu boleh dilancarkan.
“Ini menyebabkan NFC tidak mampu menjana pendapatan daripada projek itu untuk membayar pinjaman kerajaan,” kata Salleh dalam kenyataan saksinya.
Katanya, pinjaman RM253.6 juta yang diberikan kepada NFC pada 2008 terikat dengan pelaksanaan projek dan beberapa perjanjian sewa beli yang disertai syarikat itu.
“Walaupun pinjaman itu sudah diberikan, kerajaan tidak terlepas daripada kewajipannya dan akhirnya projek itu digantung pada 2010,” kata Salleh yang juga saksi kedua defenden.
Dalam pembelaannya, NFC memberitahu, semua hartanah yang dilabur syarikat itu atau dibeli menggunakan pinjaman berkenaan juga dirampas.
Salleh adalah suami kepada bekas ketua wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil.
NFC bersama Salleh dan tiga anaknya serta enam syarikat yang dimiliki keluarga itu dinamakan sebagai defenden dalam saman yang difailkan kerajaan pada Jun 2019.
Kerajaan menuntut bayaran semula pinjaman berjumlah RM253.62 juta bersama faedah 2% setahun dan faedah mungkir RM224.77 juta.
Putrajaya juga memohon pengisytiharan untuk memastikan keluarga Salleh bertanggungjawab secara peribadi bagi membayar balik hutang sebanyak RM118.04 juta yang didakwa diselewengkan daripada pinjaman itu.
Katanya, ia juga berhak menuntut kepentingan saksama dalam hartanah yang dibeli menggunakan pinjaman NFC RM250 juta daripada kerajaan.
Pada 2007, kerajaan meluluskan pinjaman RM250 juta kepada NFC untuk menjadikan industri lembu tempatan sebagai perniagaan berskala besar dengan tujuan membantu Malaysia berdikari dalam pengeluaran daging lembu.
Mengikut perjanjian pinjaman itu, NFC sepatutnya membayar balik RM17 juta setahun bermula 2012 hingga 2028.
Ketika disoalbalas oleh Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan, Salleh berkata, NFC tidak dapat membuat bayaran balik pertama pada 2012 kerana akaun bank syarikat itu dibekukan.
Tujuh saksi memberi bukti kepada kerajaan yang menegaskan bahawa pinjaman itu adalah perjanjian tunggal dan NFC telah menyeleweng wang berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Anand Ponnudurai ditangguhkan esok kerana Salleh tidak sihat.