Kadar pengangguran turun 3.6% pada September

Kadar pengangguran turun 3.6% pada September

Jabatan Perangkaan memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran menurun kepada 611,800 orang, terendah sejak pandemik Covid-19 pada suku kedua 2020. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6% pada September 2022, menurun 0.1% berbanding 3.7% pada Ogos 2022.

Jabatan Perangkaan (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi suku ketiga 2022, kadar pengangguran menurun kepada 3.7%, mencatatkan 611,800 orang, kadar terendah sejak pandemik Covid-19 pada suku kedua 2020.

Bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan 2.1% bulan ke bulan kepada 496,600 orang pada September (Ogos – 507,300 orang), manakala penganggur tidak aktif meningkat 3.5% kepada 108,400 orang berbanding 104,700 orang.

Menurut DOSM, jumlah tenaga buruh dalam negara meningkat 0.2% kepada 16.66 juta orang pada September berbanding 16.63 juta orang pada Ogos dengan kadar penyertaan buruh kekal pada 69.7%.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2% kepada 16.05 juta orang pada September berbanding 16.02 juta orang pada bulan sebelumnya.

Komposisi penduduk terbesar bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan peratus sumbangan sebanyak 75.9%, bekerja sendiri (17.6%), majikan (3.4%) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1%).

Bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan penurunan sedikit sebanyak 0.04% kepada 7.24 juta orang dengan 42.9% daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.5% dalam kategori sekolah atau latihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.