Calon PAS, DAP dikecam main sentimen kaum, agama

Calon PAS, DAP dikecam main sentimen kaum, agama

#KamiNampak, sebuah inisiatif belia berkata taktik sedemikian adalah dangkal dan merugikan rakyat.

#KamiNampak mendakwa (dari kiri) Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS), V Ganabatirau (DAP), Fazli Mohammad (GTA) dan Priscilla Lau (PSB) memainkan sentimen kaum dan agama dalam kempen mereka.
PETALING JAYA:
Sebuah inisiatif belia #KamiNampak mengesan beberapa calon pilihan raya umum ke-15 termasuk daripada PAS dan DAP, memainkan sentimen perkauman dan agama ketika berkempen di media sosial.

#KamiNampak mengenal pasti empat calon, Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS), V Ganabatirau (DAP), Fazli Mohammad (Gerakan Tanah Air) dan Priscilla Lau daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Mereka masing-masing bertanding di kerusi Parlimen Rantau Panjang, Klang, Balik Pulau dan Lanang.

Penyelaras #KamiNampak, Jason Wee, menyeru calon berkempen mengenai dasar dan amalan, bukan penggunaan kaum dan agama yang terlampau untuk meyakinkan pengundi.

“Penggunaan retorik kaum dan agama tidak mempertimbangkan kesan jangka panjang yang merosak keupayaan komuniti di Malaysia untuk mempunyai kepercayaan antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan.

Bulan lalu, Ganabatirau menyeru pengundi menolak Barisan Nasional dan PAS, dan berkata mereka telah menggunakan isu perkauman untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH) ketika ia berkuasa.

Ia termasuk isu kematian anggota bomba Adib Kassim dalam rusuhan 2018 dan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

#KamiNampak adalah inisiatif diterajui oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Architects of Diversity (AOD).

Lebih 60 sukarelawan belia memantau akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok, Instagram dan YouTube calon pilihan raya membabitkan 222 kerusi Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.