Bukan janji kosong, kami tahu apa perlu dilakukan, kata Dr M

Bukan janji kosong, kami tahu apa perlu dilakukan, kata Dr M

Pengerusi GTA itu berkata, pihaknya mempunyai idea, antara lainnya, bagaimana untuk membangunkan negara dan membanteras rasuah.

Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang boleh ditawarkan GTA adalah untuk mengubah Malaysia supaya sekali lagi menjadi Harimau Asia. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungannya tidak akan membuat sebarang “janji kosong” untuk meyakinkan rakyat supaya mengundinya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, apa yang boleh ditawarkan oleh GTA adalah untuk mengubah Malaysia supaya sekali lagi menjadi Harimau Asia.

“Kami akan tunjukkan bahawa kami ada idea bagaimana untuk bangunkan negara, bagaimana untuk banteras rasuah dan sebagainya,” katanya pada sidang media, lapor Daily Express.

Beliau turut diminta mengulas mengenai janji Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk melantik timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak jika menang pada PRU15.

“Kalau mereka ikhlas, kami sokong mereka. Tetapi saya khuatir, ia hanya janji yang dibuat semasa pilihan raya. Apabila mereka menang, mereka akan buat benda lain. Jika itu sesuatu yang positif untuk Sabah, kami akan sokong,” katanya.

Tambahnya, GTA akan melaksanakan apa sahaja yang diperlukan untuk pembangunan Sabah.

“Kami nak buat janji yang boleh ditunaikan. Ada pihak mahu hapuskan tol, tetapi jika tol dimansuhkan, jalan raya tidak boleh dibaiki kerana kerajaan perlu melunaskan hutang (kepada syarikat konsesi lebuh raya),” katanya.

Beliau merujuk kepada janji PH dalam manifestonya untuk mengurangkan kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan secara berperingkat dengan matlamat akhir untuk memansuhkannya sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.