Rusuhan di Tenom boleh elak jika SPR reformasi sistem, kata penganalisis

Rusuhan di Tenom boleh elak jika SPR reformasi sistem, kata penganalisis

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff berkata proses pilihan raya di Malaysia perlu berubah seiring era digitalisasi.

Sabtu lalu, rusuhan tercetus selepas pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom ditolak susulan kes mahkamah.
PETALING JAYA:
Proses penamaan calon pilihan raya perlu dibuat secara dalam talian, kata seorang penganalisis politik.

Mohammad Agus Yusoff ketika dihubungi FMT berkata, wujud keperluan itu bagi mengelak masalah yang berlaku sewaktu proses penamaan calon.

Katanya, isu yang berlaku ketika hari penamaan calon pada Sabtu seperti borang penamaan ditolak serta rusuhan di Tenom dapat dielakkan, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereformasikan sistem pilihan raya dengan membenarkan proses penamaan calon dibuat secara dalam talian.

Sabtu lalu, rusuhan tercetus selepas pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom ditolak susulan kes mahkamah.

Mohammad Agus Yusoff.

Antara cadangan Agus adalah borang pencalonan perlu diisi secara dalam talian dengan memuat naik dokumen diperlukan, sekali gus menjimatkan banyak sumber dan masa.

“Sekiranya, pencalonan secara dalam talian dilakukan, maka penolakan ini boleh dielakkan kerana pegawai SPR boleh menyemak borang calon terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan SPR hanya membenarkan nama seperti tertera pada kad pengenalan untuk digunakan calon bagi mengelak kekeliruan, selain memperkenalkan e-nombor untuk menentukan aturan nombor calon dalam kertas undi.

Katanya, dalam era digitalisasi hari ini, wujud keperluan bagi SPR menyesuaikan proses pilihan raya sejajar arus digitalisasi demi memudahkan proses penamaan calon.

“Dalam Bajet 2021, sebanyak RM9.1 bilion diperuntukkan untuk menjayakan strategi digital nasional.

“Dengan belanja dan kemudahan yang disediakan sebanyak itu, apakah susah bagi SPR memikirkan cara yang sesuai bagi memudahkan proses penamaan calon secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, kemeriahan demokrasi di Malaysia sepatutnya ditentukan oleh pelaksanaan pilihan raya yang cekap dan berintegriti, media yang bebas dan adil, pengundi bermaklumat, debat antara pemimpin utama, dan mesej kempen jelas.

Justeru, Agus mencadangkan pihak SPR menyemak semula Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan negeri, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan beberapa akta lain bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa.

Katanya, risiko “pembelian undi” dapat dicegah sekiranya proses mengundi dibuat secara dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.