Polis nafi kereta peronda potong barisan cuci kenderaan

Polis nafi kereta peronda potong barisan cuci kenderaan

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata siasatan mendapati pekerja pusat cucian kereta itu yang meminta kereta peronda masuk dahulu untuk dicuci.

Gambar tular di Twitter menunjukkan kereta peronda polis di pusat cucian kereta. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Polis menafikan satu dakwaan di Twitter bahawa sebuah kereta peronda memotong barisan di sebuah pusat cucian kereta di Lembah Pantai.

Seorang pengguna Twitter memuat naik sekeping gambar menunjukkan sebuah kereta peronda di tempat cucian kereta dan bertanya, adakah polis tidak perlu menunggu giliran untuk kereta mereka dicuci.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati kereta peronda itu dipandu seorang pegawai dari balai polis Pantai Dalam dan pergi ke pusat cucian kereta di kawasan itu.

“Apabila sampai dilokasi, pegawai itu meletakkan kenderaan di belakang kedai dan menunggu giliran.

“Pegawai polis itu tidak meminta untuk memotong barisan tetapi pekerja di pusat cucian itu memintanya untuk masuk (kereta untuk dicuci).

“Selepas kereta peronda itu dicuci, pegawai itu membuat bayaran dan pergi untuk menyambung tugasnya,” kata Amihizam dalam kenyataan.

Katanya, beliau memandang serius tuduhan berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas pada mana-mana anggota polis yang melanggar peraturan.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti itu boleh menghubungi talian hotline polis Brickfields di 03 2297 9222 dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.