Perjelas kenaikan mendadak nilai aset Invoke, Latiff beritahu Rafizi

Perjelas kenaikan mendadak nilai aset Invoke, Latiff beritahu Rafizi

Pemimpin Bersatu itu mahu Rafizi Ramli menyatakan sama ada kekayaan dihasilkan Invoke akan dikongsi dengan kakitangannya seperti dijanjikan sebelum ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Abdul Latiff Ahmad berkata orang ramai berhak mengetahui punca peningkatan mendadak itu demi ketelusan yang selalu diperkatakan Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Abdul Latiff Ahmad menggesa Rafizi Ramli menjelaskan lonjakan nilai Invoke, sebuah syarikat data diasaskan timbalan presiden PKR itu.

Rafizi, yang bertanding kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum (PRU15), minggu lalu mengisytiharkan RM16.74 juta pelaburan dengan saham bernilai RM16.7 juta dalam syarikatnya, Invoke.

Dalam kenyataan hari ini, Latiff mendakwa setakat Disember lalu, Invoke mengalami kerugian dan aset bersihnya adalah RM4.7 juta.

“Orang ramai berhak mengetahui punca peningkatan mendadak dalam nilai aset demi ketelusan yang selalu diperkatakan oleh Rafizi,” kata Latiff, bekas Ahli Parlimen Mersing.

“Adakah Rafizi bersedia mendedahkan dengan segera kontrak-kontrak atau sumber pendapatan didapati oleh Invoke pada 2022 yang telah membawa kepada kenaikan nilai yang begitu besar?

“Saya menyeru Rafizi menerbitkan senarai penuh butir-butir tersebut secara jujur dan telus,” katanya.

Latiff turut meminta Rafizi menjelaskan mengapa hanya 14 pemegang saham dalam syarikat itu termasuk beliau sendiri yang merupakan pemegang saham majoriti.

Katanya, Rafizi juga mengeluarkan kenyataan pada 2017 bahawa saham dalam Invoke akan diagihkan kepada “kakitangan Invoke yang berkorban selama ini”.

“Apa yang berlaku terhadap janji yang dibuat pada 2017 untuk mengagihkan saham kepada kakitangan Invoke? Terdapat 80 kakitangan Invoke pada tahun tersebut.

“Adakah Rafizi tidak mahu lagi berkongsi kekayaan bernilai berjuta melalui saham Invoke dengan marhaen yang “berkorban” untuk beliau menjayakan Invoke?”

Selepas pengisytiharan aset Rafizi minggu lalu, seorang lagi pemimpin Bersatu, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon, telah menyatakan bahawa Invoke bukanlah sebuah pertubuhan yang mengaut keuntungan dan tidak bertujuan untuk memperkayakan sesiapa.

Beliau berkata, kenyataan di laman web Rafizi juga mengatakan Invoke tidak boleh menggunakan sebarang keuntungan untuk kepentingan peribadi, termasuk untuk pemegang saham.

“Walaupun Rafizi tidak menjual atau melupuskan saham itu dalam masa terdekat, ini adalah berjuta-juta ringgit (saham) yang dia miliki sekarang. Sumber kekayaan adalah inisiatif kepentingan awam, Invoke,” katanya dalam kenyataan.

“Dia telah untung, dan keuntungannya sangat besar. Rakyat Malaysia biasa hanya boleh bermimpi untuk memperoleh RM16.74 juta, walaupun mereka bekerja sepanjang hayat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.