
Kedua-duanya menempuh kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai rakan dalam Warisan dalam usaha kembali bergelar wakil rakyat, situasi yang tidak pernah diramal ketika kedua-duanya merupakan seteru politik.
Sebagai pemimpin MCA, bukan rahsia lagi pertembungan Ong dengan parti pernah dianggotai Wee, DAP dan PKR. Hari ini, dua sosok itu menawarkan diri mereka untuk menjuarai perpaduan negara.
Ong dan Wee berharap kembali menguasai kerusi Parlimen Pandan dan Wangsa Maju, yang mana pernah disandang mereka ketika masing-masing berada dalam MCA dan PKR, pada 2008-2013.
Ong, 66, dan Wee, 69, berkata mereka tidak merasakan imej dibawa dalam politik Malaysia sudah lapuk, namun kedua-duanya ingin terus maju ke depan dengan disusuli semangat untuk melenyapkan kepimpinan yang memilih politik “melihat ke arah lain”.
Mereka berkata, kemunculan semula dalam arena politik selepas hampir sedekad adalah kerana politik parti, ekonomi yang tidak memberangsangkan dan masyarakat yang dihimpit kesukaran.
Wee, ketika era berada di kemuncak politik, berkata: “Rakyat Malaysia sedang berjalan di atas kulit telur dan sangsi dengan apa sahaja yang berada di benak fikiran dan mahu diperkatakan.”

Bangga menjadi anak Kelantan, beliau berkata, PRU15 merupakan pertandingan antara dua pandangan berlawanan berhubung hala tuju masyarakat Malaysia dan ekonominya.
“Kita memerlukan campuran antara pengalaman, peremajaan dan idealisme untuk negara ini kembali ke landasan sepatutnya,” kata Wee yang juga peguam.
Ong yang juga bekas presiden MCA dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan dua penggal, berkata negara ini sangat memerlukan model pentadbiran baharu dan memberi inspirasi, yang dipandu oleh hubungan harmoni antara kaum dan agama.
“Cabaran saya di ketika ini adalah berdepan dengan kekurangan masa untuk mempopularkan ideologi politik dibawa Warisan dalam membina negara, bukan kaum mahu pun agama,” katanya yang juga bekas menteri pengangkutan dan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat.
Agenda mereka dilihat popular dalam kalangan pengundi, namun adakah kehadiran semula kedua-dua veteran politik itu dialu-alukan?
Warga emas di Wangsa Maju, CH Leow, 64, melihat tidak banyak perbezaan antara calon bertanding, “tetapi perbezaan itulah yang kita depani”
Anaknya, Simon, 28, berkata : “Mengapa saya patut mengundi ketika Parlimen sudah menjadi tempat golongan elit berkonspirasi terhadap pengundi?”
Wee berdepan pertandingan enam penjuru menentang Mohd Shafei Abdullah (BN-Umno), Zahir Hassan (PH-PKR), Nuridah Mohd Salleh (PN-PAS), Norzaila Arifin (GTA-Putra) dan calon Bebas, Ravee Suntheralingam.
Ong pula bersaing dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Leong Kok Wee (BN-MCA), Muhammad Farique Zubir Albakri (PN-PAS) dan Nadia Hanafiah (Pejuang).